PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kembali menganjurkan Anugerah SAM-100Plus 2022 yang akan diadakan di Sunway Pyramid Hotel, Petaling Jaya pada 29 Ogos 2022.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2022, turut dirai pada Majlis Anugerah SAM-100Plus adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 beserta trofi.
Tambah menarik lagi, menurut Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap, SAM akan memperkenalkan dua anugerah baharu iaitu Anugerah Pengulas Popular dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan.
"SAM akan memperkenalkan dua anugerah baharu untuk ahli dan pengamal sukan iaitu Anugerah Pengulas Popular dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan.
"Bagi Anugerah Pengulas Popular ia bukanlah dinilai dari hasil kerja namun menerusi proses undian yang akan dipilih oleh peminat-peminat sukan tanah air," katanya kepada Majoriti.
Sidang media Anugerah SAM-100Plus 2022. Turut hadir, Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap (tengah).
Tambahnya lagi, proses undian akan dilakukan menerusi laman sosial bermula 22 Ogos sehingga Ahad depan.
Oleh itu, bagi Anugerah Pengulas Popular, enam calon telah dikenal pasti hasil perbincangan bersama dengan pihak berkaitan dan pemenang akan ditentukan menerusi undian orang ramai.
Bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan, Presiden SAM memaklumkan bahawa ia bukanlah satu pertandingan tetapi penghargaan yang akan diberikan kepada kesemua pemegang taruh.
Lebih menarik lagi, SAM juga akan mengembalikan Anugerah Atlet Remaja Terbaik yang tidak diadakan selama dua tahun kerana kurangnya penglibatan ekoran pandemik Covid-19 ketika itu.
Majlis Anugerah SAM-100Plus 2022 dijangka dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh.
Pengeluar minuman isotonik terkemuka di Malaysia, 100Plus memainkan peranan penting yang penting dalam menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram