Lupakan offer kelab lain, 3 sebab jadi pendorong Hidalgo kekal di Darul Aman


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Hidalgo merekodkan tiga jaringan gol dan 10 hantaran bantuan setakat 21 perlawanan diturunkan bersama Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

KEJAYAAN Kedah Darul Aman (KDA) yang berhasil menangguhkan Johor Darul Takzim (JDT) daripada bergelar juara Liga Super musim selepas mencatat keputusan seri 3-3 sehingga kini masih menjadi topik bualan penyokong bola sepak tanah air.

Dalam aksi Liga Super ke-21 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu, skuad Sang Kenari meraih pujian penyokong domestik selepas mempamerkan persembahan berkualiti dan sekali gus menjadi pasukan pertama yang berhasil mencuri mata Harimau Selatan.

Antara pemain yang boleh dianggap pemain terbaik perlawanan dalam aksi ke-21 Liga Super tersebut ialah penyerang sayap import, Manuel Hidalgo apabila tampil memberi hantaran bantuan untuk ketiga-tiga jaringan yang dihasilkan oleh skuad Hijau Kuning.

Sentuhan magis yang diberikan Hidalgo itu memberi peluang untuk penyerang Nigeria, Ifedayo Olusegun meledak gol pada minit ke-36, Manuel Ott (50') dan jaringan dari Amirbek Juraboev untuk gol penyamaan pada minit ke-92.

Rentetan daripada aksi cemerlang tersebut, tidak hairanlah jika ada suara-suara penyokong dari kelab lawan mula mendambakan agar pihak pengurusan pasukan mereka menyambar khidmat Hidalgo pada musim depan.

Antara penyokong yang menginginkan Hidalgo menyertai mereka ialah pengikut Harimau Selatan sehinggakan ada di antara peminat JDT sudah mula menghitung hari untuk menyambut kehadirannya.

Namun begitu, dengan kemahiran dan kualiti yang ada pada bekas pemain Sri Pahang itu, pasti sukar untuk Nafuzi Zain melepaskan khdmatnya dan jika difikir semula Hidalgo juga sebenarnya mempunyai sebab munasabah untuk terus kekal bersama Kedah.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut tiga sebab mengapa Hidalgo lebih berlaloi untuk terus kekal menyarung jersi Hijau Kuning;

1) Berpeluang beraksi di Piala AFC

WhatsApp Image 2023-08-29 at 15.14.31 (2)

Kedah ketika menentang wakil Indonesia pada musim lepas. — Facebook/KDAFC

Pada Jun lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memperuntukkan dua slot pertandingan kelab AFC bagi Tier 1 dan Tier 2 musim 2024/2025.

Skuad Sang Kenari yang kini berada pada kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super berpeluang untuk ke Piala AFC sekiranya KDA FC boleh menghuni tempat kedua sehingga ke hujung musim ini.

Kehadiran pemain kelahiran Argentina itu bersama Kedah sejak musim ini membuktikan bahawa dia adalah pembelian berbaloi selepas merekodkan tiga jaringan gol dan 10 hantaran bantuan setakat 21 perlawanan diturunkan.

Sekiranya Hidalgo tampil dengan aksi konsisten sehingga penghujung musim, dia bukan hanya membantu Kedah memperoleh slot ke Piala AFC, malah sekali gus memberi peluang untuk bakatnya dilihat di peringkat Asia.

Musim lalu, skuad Sang Kenari gagal mara ke final saingan Piala AFC 2022 peringkat zon Asia Tenggara apabila ditewaskan PSM Makassar 1-2 di Stadium Captain I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

2) Serasi di bawah taktikal Nafuzi

WhatsApp Image 2023-08-29 at 15.14.31 (3)

Nafuzi sudah memberi 14 kemenangan untuk Kedah dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/KDAFC

Penghijrahan Hidalgo ke Kedah pada awalnya menimbul kontroversi susulan skuad Sang Kenari sanggup membuat membayar pampasan memandangkan Hidalgo masih memiliki kontrak selama setahun dengan Sri Pahang.

Namun kini, keputusannya untuk memilih Kedah sebagai destinasi musim ini membuahkan hasil apabila pengendali Hijau Kuning, Nafuzi Zain bijak menggunakan kemahirannya di bahagian sayap kanan.

Selain itu, Hidalgo sendiri juga pernah mendedahkan bahawa dia menyukai corak permainan berteraskan 'Nafuziball' apabila pengendali kelahiran Kelantan itu hadir dengan bola sepak moden iaitu membina serangan dari belakang.

Di awal penghijrahannya bersama Kedah, Hidalgo pernah memberitahu yang dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Sri Pahang FC kerana tertarik dengan projek yang dilakukan oleh Nafuzi.

3) Keserasian bersama rakan sepasukan

WhatsApp Image 2023-08-29 at 16.49.21

Hidalgo meraihkan keputusan seri menentang JDT bersama rakan sepasukan. — Facebook/KDAFC

Tambahan lagi, keserasian bersama rakan sepasukan juga boleh menjadi faktor bagi pemain berusia 24 tahun itu untuk menyambung kontrak di bumi Darul Aman lebih dari perjanjian asal iaitu dua musim.

Hidalgo yang mempunyai rakan seperti Manuel Ott dan Jonathan Balotelli untuk bercakap bahasa ibundanya iaitu bahasa Sepanyol memudahkannya untuk berasa selesa untuk bertutur sesama mereka.

Selain bertutur bahasa yang sama, bekas pemain Benfica bawah 19 tahun itu juga berhasil mencipta keserasian di luar padang sehingga menyebabkan dia sering dipilih menjadi kesebelasan utama skuad kendalian Nafuzi itu.

Statistik menunjukkan bekas tonggak Sheffield Wednesday itu beraksi sebagai kesebelasan utama dalam 20 aksi Liga Super dan cuma sekali dia diturunkan sebagai pemain gantian iaitu ketika tewas 0-1 menentang PDRM FC pada 3 April 2023. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram