Dikhabar bakal jadi PT Penang FC, 3 KPI perlu diselesaikan Azraai Khor untuk 2 musim


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Azraai Khor pernah meraih kejuaraan double treble bersama Kedah. — Facebook/Azraai

NAMA bekas pengendali legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azraai Khor Abdullah menjadi topik utama dalam kalangan penyokong Penang FC selepas beliau difahamkan akan dilantik sebagai Pengarah Teknikal (PT) baharu kelab tersebut.

Khabar angin itu bermula apabila pihak pengurusan Harimau Kumbang pada Isnin memaklumkan untuk menamatkan khidmat Pengarah Teknikal Kelab, Kamal Khalid kerana prestasi hambar pasukan senior Penang FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2023.

Menerusi pengumuman di Facebook itu juga memaklumkan bahawa Pengurus Pasukan Liga Super Penang FC, Ong Eng Hua juga disahkan tidak lagi terlibat dalam apa jua urusan kelab dan pasukan Harimau Kumbang.

Meskipun, bekas pengendali berusia 70 tahun itu menafikan dan menyifatkan ia sebagai khabar angin namun beliau tidak menolak sekiranya Penang FC melamar khidmatnya sebagai Pengarah Teknikal kelab.

“Pihak pengurusan tak ada communicate lagi. Kalau ada okey juga. Insya-ALLAH lah,” katanya memetik laporan daripada Flash Sukan.

Sekiranya Penang FC serius untuk menggunakan kepakaran Azraai Khor, berikut Majoriti menyenaraikan tiga petunjuk prestasi indeks (KPI) yang perlu diselesaikan oleh beliau pada musim ini dan musim depan;

1) Kongsi idea dan pengalaman untuk menarik minat pelabur

WhatsApp Image 2023-08-28 at 17.27.37

Azraai Khor pernah dinobatkan sebagai pengendali terbiak liga pada musim 2006-2007 dan 2007-2008. — Facebook/Azraai

Seseorang individu yang diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai pengarah teknikal akan diberi tanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada pengurus.

Mencari pelabur dianggap sebagai bantuan teknikal yang boleh dibantu oleh Pengarah Teknikal berikutan pengalaman mereka lebih lama dan meluas dalam dunia bola sepak.

Berdasarkan pengalaman serta ilmu yang Azraai Khor sudah lalui bersama beberapa pasukan seperti Perak, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Negeri Sembilan, pastinya beliau sudah mempunyai idea untuk menarik minat pelabur.

Namun, sebelum menarik minat pelabur, Azraai Khor perlulah membuktikan bahawa Penang FC mempunyai hala ataupun sasaran seperti menjadi pasukan tiga terbaik musim depan untuk memberi jaminan kepada pihak tersebut.

Pelaburan yang terjamin boleh membantu Penang FC mendapat dana untuk menambah baik pasukan seperti membeli import lebih berkualiti dan mengelak pasukan daripada mengalami masalah gaji.

Skuad Harimau Kumbang kini banyak berharap dana daripada kerajaan negeri untuk memberi kewangan bagi menampung keperluan Penang FC.

2) Bagi cadangan untuk melantik jurulatih

WhatsApp Image 2023-08-28 at 17.27.38

Yee Fatt dilantik sebagai pengendali Penang musim ini. — Facebook/PenangFC

Azraai Khor yang sudah menceburi bidang kejurulatihan sejak 1991 bermula di Negeri Jelapang Padi itu juga boleh memberi cadangan ataupun nasihat dalam memilih jurulatih Penang FC sekiranya beliau sah menjadi Pengarah Teknikal.

Dengan pengamatannya sebagai bekas jurulatih, Azraai Khor pasti boleh mencadangkan nama jurulatih dengan pendekatan bola sepak yang sesuai untuk Harimau Kumbang.

Sejak musim lepas, Penang FC sudah mencuba tiga jurulatih namun sehingga kini skuad Harimau Kumbang masih dihimpit masalah prestasi dan kali terakhir kelab Utara tanah air menduduki kelompok tiga teratas pada musim 2021.

Kini, Penang FC yang mendapat sentuhan Chong Yee Fatt untuk mengendali pasukan bersama penolongnya, Manzoor Azwira Abdul Wahid hanya banyak memberi kekalahan daripada kemenangan untuk Harimau Kumbang.

Skuad Harimau Kumbang kini boleh dianggap berada pada situasi yang tidak membanggakan apabila mereka menduduki tangga ke-10 Liga Super selepas 21 perlawanan.

3) Bertanggungjawab menilai prestasi pemain secara keseluruhan

WhatsApp Image 2023-08-28 at 17.27.36

Harimau Kumbang menduduki tangga kesepuluh Liga Super selepas 21 perlawanan. — Facebook/PenangFC

Jika Azraai sah dilantik sebagai sebahagian keluarga Harimau Kumbang, beliau bertanggungjawab menilai prestasi pemain secara keseluruhan termasuklah pemain skuad Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia Penang FC.

Penglibatan Pengarah Teknikal di bahagian akar umbi juga penting untuk memperkayakan pemain-pemain muda dengan pelbagai ilmu teknik dan taktik semasa berguru di bawah seliaannya.

Azraai Khor yang bermula sebagai pengendali skuad Piala Presiden Kedah pasti tidak mempunyai masalah untuk menilai bakat-bakat muda yang boleh diasah menjadi aset Penang FC dan pasukan negara.

Untuk Liga Super pula, Azraai Khor berhak untuk menasihatkan pengendali untuk tidak menggunakan pemain yang kurang memberikan sumbangan dan seterusnya hanya meletakkan pemain berkualiti berdasarkan pemerhatiannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram