Fans Penang FC desak Chong Yee Fatt disingkirkan, idam Merzagua Abderrazak selamatkan kelab


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Penang FC hanya menang lima kali dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/Penang Football Club

SELEPAS mengalami prestasi yang cukup mengecewakan penyokong, Penang FC akhirnya melakukan tindakan apabila menyingkirkan dua pegawai pasukan mereka pada Isnin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Harimau Kumbang, mereka telah menyingkirkan pengarah teknikal, Kamal Kalid serta pengurus pasukan iaitu Ong Eng Hua berkuatkuasa serta-merta.

Desas-desus menyatakan Penang FC akan membawa bekas jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azraai Khor Abdullah sebagai pengarah teknikal baharu bagi memberikan impak segera terhadap pasukan.

Selain itu, Penang FC turut menyatakan mereka akan melantik pengendali pasukan baharu yang bertindak sebagai jurulatih dan pengurus dalam masa yang sama.

Apa yang disuarakan oleh Penang FC itu mendapat reaksi oleh penyokong mereka yang inginkan pengendali semasa, Chong Yee Fatt disingikirkan secepat mungkin untuk memberi laluan kepada jurulatih baharu.

Penang

Penang FC cuma mengutip 19 mata daripada 21 perlawanan Liga Super. — Facebook/Penang Football Club

Pada mereka, prestasi Yee Fatt sudah jatuh merudum dan sudah tiba masanya nama baharu diberikan peluang menjulang semula Harimau Kumbang.

Lebih memeritkan, Penang FC kini bertarung di kelompok bawahan Liga Super dengan hanya mengutip 19 mata daripada 21 perlawanan.

"Chong Yee Fatt sila letak jawatan. CYF Out! Tamatkan kontrak Chong Yee Fatt," kata penyokong bernama Mamu FahmiDa.

"Buang coach sekali #CYFOut," komen Muhamad Hafizi pula.

Malah, ada penyokong berpendapat Penang FC seperti acuh tak acuh dalam mendapatkan jurulatih dan tidak ada usaha mencari pengendali berkaliber yang mampu melonjakkan martabat Harimau Kumbang.

"Chong Yee Fatt tu nak simpan lagi ke? Perak dan Kuala Lumpur melingkup pasal dia. Tu pun pergi kutip lagi," ujar Muhamad Amier.

"Ambil jurulatih yang berjenis (berkualiti) sikit. Ni pergi ambil juruletih. Pengurusan pun kena tahu tentang bola sepak moden sekarang, bukan main tangkap muat je. Walaupun bajet tak berapa nak ada, ni buat malu nama Penang FC je, skrip sama je bertahun-tahun," tulis Kamarul Rizal.

Tatkala ramai yang mendesak agar Yee Fatt disingkirkan, penyokong Penang FC juga mencadangkan agar kelab itu mendapatkan semula bekas pengendali mereka iaitu Merzagua Abderrazak.

Merzagua

Merzagua Abderrazak merupakan nama yang cukup disenangi penyokong Penang FC. — Agensi

"Bawa balik Merzagua semula sebagai jurulatih," kata Mathy Wijen Randhawa.

"Singkirkan Manzoor Azwira (kerana) tiada lesen kejurulatihan penuh. Bawa legenda kita Merzagua atau jurulatih yang mempunyai pengalaman luas. Kami penyokong sejati cuma menantikan perkara itu, kembalikan hari terdahulu (yang gemilang). Terima kasih," komen Jagatheesan Kathirason.

Selain Abderrazak, penyokong Harimau Kumbang juga ada menyebut nama Irfan Bakti sebagai calon untuk mengisi kedudukan sebagai pengendali Penang FC.

Setakat ini, Penang FC hanya meraih lima kemenangan dalam 21 perlawanan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram