Bukan saja-saja Klopp tak 'celebrate' gol Nunez, faham kenapa TAA tak dibuang padang


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Trent Alexander-Arnold dan Anthony Gordon bersaing sengit dalam aksi diadakan di St. James' Park — Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pasukannya bernasib baik untuk tidak beraksi dengan sembilan pemain ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Newcastle United pada Ahad.

Dalam perlawanan sengit melibatkan kedua-dua pasukan di St. James' Park, The Reds berjaya mencipta kebangkitan apabila menewaskan The Magpies dengan jaringan 1-2.

Tempoh 30 minit pertama perlawanan sememangnya sukar untuk Liverpool apabila mereka kerap kali diasak oleh tuan rumah. Hasilnya, Anthony Gordon berjaya menembusi pintu gol The Reds pada minit ke-25.

Keadaan semakin sukar buat Liverpool apabila Virgil van Dijk dibuang padang tiga minit kemudian selepas menjatuhkan Alexander Isak di depan kotak penalti.

Liverpool akhirnya bangkit pada babak akhir perlawanan apabila pemain gantian, Darwin Nunez menyamakan kedudukan pada minit ke-81 sebelum meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

Darwin Nunez jadi wira Liverpool dengan jaringan bergandannya menumbangkan Newcastle — Agensi

Akan tetapi, kontroversi melanda diawal perlawanan apabila pengadil, John Brooks tidak memerintahkan Trent Alexander-Arnold keluar padang selepas melakukan dua kesalahan berturut-turut.

Alexander-Arnold diberikan kad kuning pertama pada minit ke-6 selepas membaling bola ke secara sengaja selepas pemain itu dijatuhkan oleh Gordon.

Tidak lama kemudian, Alexander-Arnold membalas semula kekasaran Gordon terhadapnya dengan menjatuhkan pemain tersebut hinggakan pengendali Newcastle, Eddie Howe mahukan pertahanan tersebut dibuang padang.

Namun begitu, Brooks memilih untuk tidak menyingkirkan Alexander-Arnold walaupun kelihatan kekasaran tersebut adalah jelas.

Bercakap selepas perlawanan, Klopp mengakui walaupun pasukannya bernasib baik dalam situasi tersebut tetapi dia memahami mengapa Brooks tidak memerintahkan pemainnya keluar padang.

Kata Klopp, tindakan tersebut adalah untuk memastikan perlawanan berjalanan lancar dan kekal seimbang.

"Berdasarkan pemerhatian, ada kekasaran yang terhadap Trent Alexander-Arnold (oleh Gordon) yang tidak diberikan dan ia jelas berlaku di depan saya.

"Pengadil tidak memberikan (sepakan percuma kepada Liverpool), Alexander-Arnold kemudiannya membaling bola (ke arah lain) kemudiannya dia yang diberikan kad kuning.

"Dalam situasi seterusnya, jika pengadil memberikan kad kuning yang sebenarnya tidak diberikan, anda perlu fikirkan keseimbangan untuk pastikan perlawanan dapat diadakan dengan lancar," kata Klopp selepas perlawanan.

trent

Alexander-Arnold & Gordon bertarung sengit dalam pertemuan antara Newcastle dan Liverpool. — Agensi

Klopp juga mendedahkan pengadil keempat perlawanan, Craig Pawson, berkata kepadanya sepatutnya Liverpool yang memperoleh sepakan percuma itu dan bukannya Newcastle.

Seandainya Brooks memberikan sepakan percuma kepada The Reds, Alexander-Arnold pastinya tidak akan dikenakan kad kuning pada situasi tersebut.

Dalam pada itu, Klopp mendedahkan ada sebab mengapa pengurus Jerman itu tidak meraikan jaringan oleh Nunez di separuh masa kedua.

Pada Klopp, dia tidak mahu terlalu gembira kerana risau pengadil akan membatalkan jaringan tersebut.

"Sekarang ni saya tidak lagi meraikan jaringan kerana saya bimbang ia dibatalkan kerana ofsaid.

"Saya sebenarnya yakin (gol itu sah) tetapi selepas itu sistem VAR akan lakukan semakan dan apabila ia selesai pemain-pemain simpanan meraikannya, saya pun terus berasa lega," ujar Klopp.

Liverpool kini ditangga keempat EPL dengan tujuh mata dikutip selepas tiga kali beraksi. Perlawanan seterusnya untuk mereka adalah menentang Aston Villa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram