KJ pernah elak jumpa wartawan angkara isu pendrive FAM


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Gambar Khairy bertemu TMJ berhubung isu pendrive di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru pada 2016. — Facebook/Johor Southern Tigers

SEBUT sahaja isu pendrive ataupun pemacu simpanan dan mudah alih, pasti rata-ratanya penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air masih mengingati kes tersebut susulan ia antara kontroversi hangat yang pernah mengegarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kira-kira tujuh tahun lalu.

Isu yang berlaku pada Julai 2016 itu bermula apabila pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan dalam FAM, sehingga 30 tahun.

Ketika itu, beliau mendakwa mempunyai butiran lanjut, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa tidak masuk akal.

Susulan isu berkenaan, Tunku Ismail akhirnya menyerahkan pemacu simpanan itu kepada Khairy Jamaluddin yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Namun lain pula jadinya apabila ketika orang ramai ingin mengetahu mengenai isu tersebut, Khairy atau lebih mesra dengan sapaan KJ itu pernah mengelak daripada memberi kenyataan mengenai kes itu.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 11.47.12

Khairy ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. — Agensi

Berdasarkan laporan media pada 28 Ogos 2016, Khairy difahamkan pernah mengelak untuk bertemu wartawan yang menantinya untuk meminta beliau mengulas mengenai perkara itu.

Kini, isu berkenaan hanya menjadi sebahagian pengajaran berikutan hasil siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur rasuah, dan hanya salah laku teknikal oleh FAM yang terkandung di dalam pendrive tersebut.

Malah, TMJ juga pernah memaklumkan tindakannya menyerahkan pendrive berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, Khairy hanya untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dan bukannya menghukum FAM.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, isi kandung dalam pendrive yang saya terima adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak profesional dan exco tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.

“Saya berikan kepada Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikannya bukan untuk menghukum FAM dan menggantung FAM. Sekiranya kita menggantung FAM, ia akan menjejaskan liga.

“Saya hanya menasihatkan kepada individu berkenaan untuk berundur dengan cara baik tahun depan dan digantikan dengan individu yang lebih layak menjalankan tugas,” ujar TMJ pada September 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram