
PERLAWANAN akhir dalam saingan Piala AFF Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Rayong, Thailand pada Sabtu menyaksikan Vietnam meraih kemenangan ke atas Indonesia.
Selepas terikat tanpa jaringan selepas 120 minit permainan, perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pasukan yang bakal membawa pulang trofi itu.
Namun, selepas pemain skuad Garuda, Ernando Ari gagal menyempurnakan penalti keenam buat Indonesia, Vietnam disahkan sebagai juara untuk tahun kedua berturut-turut.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidaklah begitu mengecewakan buat penyokong Indonesia memandangkan mereka lebih berang dengan tindakan kasar yang dibuat bek kanan lawan, Nguyen Hong Phuc.
Dia yang masuk untuk menggantikan Vo Hoang Ming Khoa pada minit ke-79 diberikan tugasan untuk menyekat serangan dari sayap kiri dengan usaha itu turut dibantu pemain pertahanan, Haykal Alhafiz.
Aksi pemain Vietnam, Nguyen Hong Phuec, @phucbo_21 yang melakukan ikutan kasar kepada Haykal, di laga semalam.
Dirinya tidak minta maaf dan tidak dikartu oleh wasit. pic.twitter.com/ZRDoNNgNen
— Indonesiadailynet (@indo_dailynet) August 27, 2023
Jadi, untuk mengganggu kekuatan mental skuad Indonesia, Hong Phuc melakukan kekasaran jelas apabila menyiku belakang kepala bek kiri berusia 20 tahun berkenaan.
Insiden itu bagaimanapun gagal disedari pengadil perlawanan yang hanya memberhentikan permainan kerana menyedari Haykal terbaring di atas padang, namun tidak memberikan sebarang kad kepada pertahanan Vietnam tersebut.
Tidak cukup dengan itu, Hong Phuc sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengasari seorang lagi pemain skuad Garuda, Arkhan Fikri ketika masa tambahan.
Kelakuannya itu menyebabkan Arkhan dilihat mengalami kecederaan di bahunya dengan ia berlanjutan sehingga penghujung permainan dengan pemain terbabit dilihat tidak selesa sepanjang berada di atas padang.
Berang dengan perkara itu, penyokong Indonesia memilih untuk 'menyerang' Hong Phuc menerusi komen-komen sinis di akaun Instagram peribadinya sejurus perlawanan tersebut tamat.
Hal berkenaan menyebabkan pemain Hoa Binh FC itu menyahaktifkan laman media sosial itu bagi mengelakkan lebih banyak kata-kata kasar dihambur kepadanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram