SELEPAS bergelut dengan kecederaan bersama PT Prachuap FC, Junior Eldstal bangkit kembali dengan menyertai kelab Indonesia, Dewa United secara pinjaman daripada Johor Darul Takzim (JDT) pada 20 Julai lalu.
Kehadiran Junior melengkapi kuota import Dewa United untuk saingan Liga 1 Indonesia musim 2023/24.
Pemain berusia 32 tahun itu dikenali dengan corak bertahan yang agresif serta mempunyai fizikal yang kental untuk mematahkan serang pihak lawan.
Junior melakukan debut bersama Dewa United sebagai pemain gantian lewat hujung permainan ketika menentang RANS Nusantara FC yang mana dia tidak boleh menunjukkan kelebihan 100 peratus di atas padang pada 19 Ogos lalu.
Namun ketika menentang Gergasi Indonesia, Persija Jakarta, pemain kacukan Sweden-Malaysia itu diberi kepercayaan oleh Jan Olde Riekerink untuk membarisi kesebelasan utama pasukan dan beraksi 90 minit permainan pada Jumaat lalu.
Kepercayaan yang diberikan oleh pengendali Dewa United itu dibalas dengan keputusan 2-0 sekali gus menghadiahkan kemenangan keempat buat The Deluxe Unicorn musim ini.
Debut Junior bersama Dewa United pada 19 Ogos lalu. — Instagram/Dewa United
Junior yang dilihat begitu bersemangat dan agresif dalam mematahkan barisan serangan Persija Jakarta sudah mula menambat hati penyokong-penyokong Dewa United.
"Bagus permainan dia semalam (Jumaat), syabas Junior Eldstal," kata @Alung1.
"Junior Eldstal padu betul lawan Persija Jakarta," ujar @Raffxqz.
"Corak permainan agresif yang membuatkan penyerang Persija Jakarta susah untuk tembus pertahanan Dewa United," luah @Rezhaun.
Penampilan kedua Junior bersama Dewa United pada Jumaat. — Instagram/Dewa United
Setakat ini, Dewa United mencatatkan empat kemenangan, tiga seri dan tewas tiga kali dalam 10 perlawanan terakhir.
Untuk rekod, Junior pernah beraksi bersama beberapa kelab luar negara seperti Slimbridge AFC, Metropolitan Police (England) dan Chonburi FC, PT Prachuap FC (Thailand).
Dengan pujian yang diberikan oleh penyokong Indonesia, ia secara tidak langsung berjaya menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan keberadaannya dalam senarai akhir 26 pemain Harimau Malaya.
Kim Pan-gon menyenaraikan Junior dalam skuad Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China pada bulan depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram