BARU-BARU ini, sebuah portal sukan tanah air sempat bertemu pemilik kelab bola sepak akar umbi, TSS FC, Tengku Shakirinal Sulaiman Shah atau juga dikenali sebagai Tengku Nana.
Dalam pertemuan itu, mereka sempat bertanya mengenai penyertaan pasukan itu dalam Kejohanan Asian Grassroot Football 2023 dengan temu bual tersebut kemudiannya dimuat naik di Instagram rasmi laman sukan berkenaan.
Antara perkara yang dikongsikannya adalah berkaitan pertikaian pihak lawan setiap kali pasukan itu beraksi dengan mereka tidak mempercayai umur pemain berada di bawah had yang ditetapkan.
"Selalunya apabila kita bermain di luar negara, mereka akan protes sehingga meminta pasport kerana sukar untuk mereka percaya kebolehan pasukan yang diturunkan," katanya.
Berdasarkan perkongsian di laman Instagram rasmi kelab, pelbagai kejohanan sudah disertai TSS FC di beberapa negara luar untuk mendedahkan pemain muda kepada pengalaman beraksi di peringkat lebih tinggi.
Jadi, ia pastinya akan menjadi satu tarikan memandangkan pasukan muda itu dimiliki Tengku Nana yang juga cukup dikenali dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Tengku Nana (kanan) di samping Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. — Facebook/TSS Selangor Malaysia
Namun, apa yang lebih menarik mengenai klip itu adalah apabila pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris sempat memberi pandangan peribadinya mengenai Tengku Nana.
"Inilah orang yang paling layak jadi pemilik Selangor FC. Yang mendidik saya tentang bolasepak semasa saya kecil adalah abang sedara saya, Tengku Shakirinal a.k.a Tengku Nana. Bola sepak adalah darah daging dia.
"Tanya sahaja dengan mana-mana budak Shah Alam tentang Tengku Nana. Semua orang tahu. Ini adalah orang yang betul-betul minat dan tahu bola sepak," tulisnya.
Sebelum ini, Tengku Nana juga pernah memberi pandangannya mengenai skuad Gergasi Merah apabila dia mahu seseorang yang cukup mahir dalam bidang bola sepak berada dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Dia juga pernah menzahirkan rasa minatnya untuk melaksanakan transformasi terhadap kelab Lembah Klang itu pada 2014, namun tiada perkembangan lanjut mengenainya.
Tetapi, enam tahun selepas itu, perubahan ketara dihadapi Selangor FC apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah disahkan menjadi pemilik pasukan berkenaan.
Meskipun masih belum mengecapi kejayaan bermakna di bawah kendaliannya, skuad Gergasi Merah sedang menunjukkan perkembangan positif musim ini dalam sasaran mereka untuk melayakkan diri ke Piala AFC 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram