PERJALANAN jaguh Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024 bakal menyaksikan mereka berdepan jagoan-jagoan Asia yang nyata akan berikan cabaran sukar buat mereka.
Dalam undian peringkat kumpulan yang diadakan di AFC House, Bukit Jalil pada Khamis, JDT diundi dalam kumpulan I bersama-sama Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan juga BG Pathum United (Thailand).
Undian yang diterima Harimau Selatan itu seolah-olah sama dengan apa diperoleh mereka pada edisi ACL yang lalu. Pada edisi lepas, JDT diundi bersama-sama Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan kelab dari China iaitu Guangzhou.
Kini, hanya terdapat satu perbezaan sahaja dengan BG Pathum United menggantikan Guangzhou untuk melengkapkan kumpulan I dalam saingan ACL musim ini.
Nama JDT dicabut ketika sesi undian peringkat kumpulan ACL. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Walaupun menduduki kumpulan yang hampir sama, namun ia tetap masih menghadirkan cabaran yang amat sukar untuk JDT dan ini turut diakui sendiri oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Usai undian telah pun selesai, TMJ memberikan komennya dengan mengatakan JDT menghadapi peringkat kumpulan yang lebih sukar berbanding wakil Singapura, Lion City Sailors dan gergasi Thailand iaitu Buriram United.
Untuk rekod, Lion City Sailors diletakkan dalam kumpulan F bersama-sama Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Bangkok United (Thailand) dan Kitchee SC (Hong Kong).
Sementara Buriram United diundi bertemu Ventforet Kofu (Jepun), Melbourne City (Australia) dan Zhejiang FC (China).
"Kumpulan yang sukar. Lion (City Sailors) dan Buriram (United) (dapat) kumpulan senang. Tetapi tiada masalah, kita akan berjuang macam setiap tahun. Takkan mengalah, demi Johor, JDT dan penyokong kami akan lakukan yang terbaik," kata TMJ.
Tangkap layar komen TMJ selepas undian ACL dilakukan. — Instagram/officialjohor
Dari sudut penyokong, rata-rata peminat JDT mengakui yang cabaran bakal menanti Harimau Selatan adalah berat. Namun begitu, mereka tetap optimis mampu melakukan dengan baik.
"Fuh, keras group ni. Semoga berjaya JDT, lawan tetap lawan. Luaskan kuasamu!," kata penyokong bernama Herwan Marwin.
"Cukup mencabar kumpulan ini, doakan yang terbaik untuk JDT," komen Firdaus Nordin pula.
JDT diundi dalam undian sukar untuk Liga Juara-Juara AFC musim ini. — Facebook JST
"Kumpulan sukar nampaknya, tiada yang mustahil. Kita buat lagi sekali, ayuh!," tulis Wak Denz.
Sebelum ini, JDT mencipta sensasi apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik ACL pada edisi lalu selepas menjuarai peringkat kumpulan dengan 13 mata.
Pencapaian hebat itu sentiasa akan dikenang terutamanya kemenangan berganda ke atas Ulsan Hyundai yang menjadi faktor kemaraan JDT ke pusingan kalah mati.
Sudah pasti, pertemuan semula bersama Ulsan Hyundai pasti akan menjadi hangat kerana jaguh Korea Selatan itu ingin membalas dendam di atas kekalahan dan malu besar yang perlu ditanggung mereka musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram