Diperlekeh tak dapat Falcao, TMJ sekali lagi buktikan buat keputusan tepat


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Sebahagian aksi barisan pemain JDT yang berpuas hati dengan kemenangan besar di SSI. — Facebook/MFL

PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Tazkim (JDT) tidak pernah jemu untuk menyajikan kemenangan kepada penyokong Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas dengan mudah membenam Kelantan FC dengan keputusan 10-0.

Aksi timbal balik yang berlangsung Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 15-1.

Dalam perlawanan tersebut, import baharu JDT, Takehiro Kunimoto yang diturunkan buat kali pertama sejak diperkenalkan awal bulan lalu dilihat mampu menyesuaikan diri dengan skuad Harimau Selatan.

WhatsApp Image 2023-08-20 at 11.34.49

Kunimoto menjaringkan dua gol untuk pasukan JDT ketika bertemu Kelantan FC dalam aksi Piala Malaysia. — Facebook/MFL

Kunimoto ataupun lebih dikenali dengan sapaan Kuni itu tidak perlu menunggu lama untuk mencatat jaringan peribadinya bersama Harimau Selatan selepas berjaya mencetak dua gol pada minit ke-24 dan 37.

Selain itu, penyerang baharu JDT, Heberty Fernandes turut menambah jaringan peribadinya pada minit ke-61 sekali gus sudah mencatatkan enam gol dalam kesemua pertandingan termasuk tiga daripadanya dalam Liga Super 2023.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan yang diraih oleh JDT, tentunya terdapat suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati dengan kejayaan tersebut sehingga mendapat perhatian daripada pemilik JDT itu sendiri.

Menurut perkongsian daripada pemilik JDT di laman Instagram, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa setiap keputusan yang dilakukan dari tahun 2013 sehingga kini adalah bertujuan untuk memajukan kelab bola sepak kelab tersebut.

"Apabila saya membuat keputusan untuk batalkan hasrat menandatangani pemain bintang dan berbelanja berhemah, di mana dengan satu harga kami boleh tandatangani dua pemain yang berkualiti, ramai yang mempersoalkan keputusan saya.

"Terdapat beberapa pihak cepat melompat macam kera suka seolah-olah kami gagal.

"Saudara-saudari sekalian, dari 2013 apa sahaja keputusan saya dan apa saya cakap ramai pihak yang memperlekehkan. Hari ini, orang ramai dapat melihat semua tindakan saya dan apa yang saya cakap dari dulu sudah menjadi kenyataan, dalam bola sepak ataupun dalam politik," kata TMJ dalam hantaran di Instagram.

Sebelum ini, khabar angin mengenai penyerang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao akan menyertai JDT semasa jendela perpindahan kedua Liga Super gagal selepas sukar untuk mencapai kata putus bagi kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, perkara itu tidak memberi kesan kepada JDT apabila membawa masuk dua import iaitu Heberty dan Kunimoto yang juga merupakan pemain berkualiti untuk membantu mempertajamkan jentera serangan skuad Harimau Selatan.

Ia sekali gus membuktikan bahawa setiap pemain import dibawa masuk oleh TMJ ke JDT adalah pilihan yang tepat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram