![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/08/24/2248945.jpeg)
ATLET powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin memecahkan rekod dunia dengan angkatan 231 kilogram (kg) dalam Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2023.
Dalam kejohanan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menyaksikan atlet berusia 24 tahun tersebut memecahkan rekod dunia dengan bebanan 231 kg pada angkatan ketiga.
Kejayaan dalam kategori senior lelaki berat melebihi 72 kg itu sekali gus mengatasi rekod dunia terdahulu yang turut dipegang olehnya dengan angkatan 230 kg ketika di kejohanan Piala Dunia Fazza ke-11 pada 2021.
Atlet dari Sarawak itu mengalahkan Donato Telesca dari Itali dengan 202 kg dan gangsa menjadi milik Bekzod Jamilov dari Uzbekistan dengan 200 kg.
Bonnie Bunyau sebelum ini mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sukan itu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Pada Februari lalu, Bonnie Bunyau juga menerima Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dari Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021.
Dengan kemenangan di Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2023 itu, Bonnie Bunyau secara automatik mendapat slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram