TERENGGANU FC (TFC) yang diundi dalam kumpulan G bersama-sama Bali United (Indonesia), Stallion Laguna (Filipina) dan kelab Australia, Central Coast Mariners mengakui bahawa ia adalah satu cabaran sengit.
Pengurus Terengganu, Fadhil Wahab bagaimanapun optimis bahawa skuad Sang Penyu mampu memberi saingan kepada tiga lawan itu meskipun ada di antara mereka dibarisi pemain kebangsaan.
"Saya rasa satu cabaran yang sengit untuk kami hadapi pada kali ini.
"Walaupun mereka dibarisi pemain kebangsaan, tetapi saya yakin kemampuan Terengganu mampu menyaingi setiap pasukan termasuk pasukan dari Australia," katanya selepas undian Zon Asean di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil, pada Khamis.
Saingan peringkat kumpulan akan bermula hujung bulan depan dan berakhir pertengahan Februari disusuli pusingan kalah mati hingga April 2024.
Bagi Fadhil, walaupun pemain masih sibuk dengan saingan domestik namun beliau percaya bahawa pasukan Terengganu mampu memberikan prestasi yang baik.
Terengganu akan menentang Bali United, Stallion Laguna dan Central Coast Mariners untuk Piala AFC 2022. — Facebook/TFC
"Kami masih ada empat lagi perlawanan Liga Super dan berasakan liga tahun ini satu perjalanan yang cukup jauh.
"Tetapi dengan semangat dan komitmen dalam kalangan pemain serta prestasi yang cukup baik ketika ini, ia satu momentum yang baik untuk Terengganu.
"Kami cukup yakin bahawa kali ini mampu menunjukkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dan ini merupakan peluang terbaik Terengganu," tambahnya.
Dalam pada itu, pengurus TFC tersebut juga mengesahkan bahawa pengendali, Tomislav Steinbruckner akan terus menggalas tanggungjawab mengemudi pasukan.
Menurutnya, ketua jurulatih itu sedang bercuti bersama keluarganya di Croatia tetapi tidak dapat bersama pasukan yang bertandang ke Kuching City, Sabtu ini. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram