Tidak sebulu dengan jurulatih, legenda Real Madrid ditolak di Arab Saudi


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Benzema menandatangani perjanjian dua setengah tahun di Al-Ittihad pada Jun lalu. — AFP

LEGENDA Real Madrid, Karim Benzema dikhabarkan tidak bahagia di Arab Saudi dan hubungannya dengan jurulatih, Nuno Espirito Santo, dilaporkan semakin retak.

Nuno Espirito dilaporkan sudah memberitahu lembaga pengarah Al-Ittihad bahawa bekas pemain Perancis itu tidak sesuai dengan gaya taktikalnya.

Laporan dari akhbar Saudi, Al-Sharq Al-Awsat mendakwa bahawa bekas bos Tottenham itu tidak meminta bekas penyerang Real Madrid itu untuk ditandatangani ke pasukan bimbingannya.

Kebenaran tersebut membawa kepada ketegangan sebenar antara mereka di bilik persalinan, selain Benzema juga dikatakan meminta untuk dijadikan kapten di Al-Ittihad namun permintaannya ditolak oleh jurulatih Portugal itu.

Pemenang Ballon d'Or itu tidak selesa bekerja dalam persekitaran sebegitu di Al-Ittihad dan sedang mencari jalan keluar dari kelab gergasi Arab Saudi itu.

Benzema sudah bermain dua kali untuk Al-Ittihad musim ini, dan walaupun dia tidak menjaringkan gol namun penyerang prolifik itu memberikan hantaran bantuan dalam kemenangan 3-0 ke atas Al-Raed.

Dengan perbalahan yang berlaku itu, berkemungkinan salah satu pihak yang terlibat perlu meninggalkan kelab sebelum memberi impak negatif kepada seluruh pasukan.

Benzema menandatangani perjanjian dua setengah tahun di Al-Ittihad yang dianggarkan bernilai lebih 200 juta euro (RM985.54 juta) selepas meninggalkan Real Madrid pada Jun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram