[VIDEO] Zamsaham kongsi 'update' padang latihan TRW, jawab konflik Frank Bernhardt


  • Podium
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Norizam aktif berkongsi perkembangan kelabnya di mana-mana platform media sosial. — Facebook/TRW Kelantan FC

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman sekali lagi tampil memberi penjelasan mengenai isu ketiadaan padang latihan dan konflik bersama bekas pengendali pasukan, Frank Bernhardt.

Menerusi satu perkongsian di akaun TikTok peribadinya, usahawan berkenaan mengatakan satu sesi perbincangan sudah dibuat dengan pihak pengurusan kelab mengenai perancangan mengenai pusat latihan baharu.

"Kita akan adakan perbincangan dengan Malaysia Agro Berhad dan kalau semuanya berjalan lancar, kita akan buat kerja ukur tanah," jelasnya.

Tambahnya lagi, terdapat kemungkinan fasiliti itu akan dibangunkan berdekatan Kelantan Polo Club, Kota Bharu yang mana tempat Norizam menceburi bidang terbabit.

Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan skuad The Red Warriors (TRW) dikatakan bakal menerima satu pusat latihan baharu dengan perkara itu berada dalam perancangan kelab.

Bagaimanapun, sejak dicadangkan awal tahun lalu, masih tiada perkembangan lanjut mengenai hal itu, sekali gus menyaksikan mereka terpaksa menggunakan kawasan sedia ada.

Selain itu, klip berdurasi 2 minit 45 saat itu turut memberi ruang untuk Norizam menceritakan mengenai isu yang dihadapi antara Kelantan FC dan Bernhardt.

"Sebenarnya dah selesai dah, tanyalah Frank sendiri. Tanya ejen dia, ejen dia pun sudah jelaskan. Untuk pengetahuan semua, kita dah bayar gaji Frank Bernhardt.

"Tapi, ada orang paksa dia cakap belum dibayar. Saya ulang sekali lagi, dia ada jumpa saya baru-baru ini selepas kes dia tersebar dan dia beritahu ada yang memaksa untuk mengatakan dia belum menerima bayaran," katanya.

Tular di media tempatan sebelum ini mengatakan jurulatih kelahiran Jerman itu terpaksa menjadikan sebuah stor di Gombak, Selangor untuk dijadikan rumah sementara.

Keputusan berkenaan dibuat dengan segelintir pihak mengatakan Bernhardt masih belum menerima bayaran tiket penerbangan pulang ke negara asal di samping ada yang mendakwa Kelantan FC masih belum menyelesaikan pembayaran baki gajinya.

Namun, dakwaan itu segera ditepis kesemua pihak dengan jurulatih berusia 53 tahun itu mengatakan tiada isu tunggakan gaji, namun dia masih menunggu duit untuk membayar tiket penerbangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram