
"BERHENTI memarahi pasukan anda sendiri."
Demikian pesanan jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan kepada penyokong tuan rumah selepas mereka didakwa menunjukkan rasa kurang hormat kepada skuad Jang walaupun mara ke suku akhir Piala Malaysia.
The Jang mara ke suku akhir dengan agregat 5-2 menentang Kelantan United selepas menewaskan lawan mereka 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.
Sebelum ini, NSFC menang tipis 1-0 ke atas skuad Kijang Hijau pada perlawanan pertama Piala Malaysia.
Pada aksi timbal balik kedua, gol MSFC dijaringkan oleh penyerang Brazil Casagrande pada minit kelapan, pemain tengah R. Barath Kumar (ke-19), pemain sayap Myanmar Hein Htet Aung (ke-34) dan penyerang Sepanyol, Youssef Ezzejjari (ke-85).
Dua gol Kelantan United pula terhasil menerusi pemain sayap Filipina, OJ Portia pada minit keempat dan penyerang, Indra Putra Mahayuddin (65).
Gol yang dibolosi itulah yang membuatkan penyokong marah sehingga ada juga dalam kalangan meraka mengejek pemain skuad Jang.
Ketidakpuasan hati itu mula timbul kerana kelab itu kini berada di tangga kesembilan dalam Liga Super dengan 21 mata daripada 20 perlawanan dan belum memenangi sembilan perlawanan liga terakhir mereka.
Devan yang akui kurang senang dengan tindakan penyokong itu berkata, pemainnya berhak mendapat layanan yang lebih baik, terutama selepas kesusahan mereka hadapi.
Antara aksi skuad Jang ketika menentang Kijang Hijau. — Facebook/NSFC
“Apabila kami bolos, peminat tidak gembira, tetapi lihat kualiti kami, mereka perlu faham. Pasukan kami mempunyai masalah tapi saya tidak boleh mendedahkannya.
“Pemain tidak pernah menimbulkan masalah tetapi malangnya, mereka terpaksa bermain walaupun ada masalah di luar padang.
“Dengan pemain import dan tempatan yang kami ada, kami berada di tempat kesembilan dalam Liga Super, yang bagi saya masih bagus. Kami hanya tinggal tujuh mata daripada pasukan di tempat ketujuh.
“Kami tidak boleh membandingkan diri kami dengan pihak yang mempunyai bejet lebih besar. Bajet Selangor lima kali ganda lebih besar daripada kita. Apa yang boleh kita lakukan?
“Saya harap penyokong bersabar dan jika mereka terus memaki hamun pemain, kami tidak boleh pergi jauh. Mereka sebaliknya patut sokong pemain,” katanya.
Selepas ini, skuad Jang akan menentang juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) bagi aksi suku akhir pada 15 September di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dan aksi timbal balik di tempat lawan pada 23 September di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri.
Di sebalik isu dalaman yang melanda Negeri Sembilan, Devan berkata, pasukannya tidak sabar untuk berdepan Harimau Selatan.
“Kami teruja dengan setiap peluang untuk menentang JDT. Kami bermotivasi untuk menghadapi pasukan terbaik di negara ini. Saya harap, kali ini, kita akan cuba melakukan sesuatu yang istimewa.
“Jika kami mempunyai Herold (Goulon), Casa (Casagrande), Hein (Htet Aung) dan Shahrel (Fikri Md Fauzi) untuk perlawanan menentang JDT. Kami mempunyai pasukan yang baik,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram