
SRI Pahang FC mengesahkan kemaraan mereka ke suku akhir Piala Malaysia dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Harini FT di laman sendiri pada Ahad.
Dua gol daripada Kpah Sherman membantu pasukan kendalian Fandi Ahmad untuk menempah tiket ke peringkat seterusnya selepas gagal melakukan demikian musim lalu.
Meskipun masih belum boleh meraikan pencapaian itu, penyokong kelab terbabit pastinya sudah cukup bergembira dengan prestasi memberangsangkan skuad Tok Gajah ketika ini.
Walaupun mengalami dua kekalahan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, Sri Pahang FC masih berada dalam kelompok lima pasukan teratas dengan lima mata membezakan mereka dengan pasukan di tangga keenam, Terengganu FC.
Sekiranya rentak kecemerlangan itu dapat diteruskan, skuad Tok Gajah pastinya tidak berdepan sebarang masalah untuk menamatkan musim 2023 di kedudukan lebih baik.
Tambahan pula, kebolehan mereka untuk mempamerkan konsistensi memasuki penghujung musim juga akan memberikan kesan besar terhadap kemaraan mereka dalam saingan Piala Malaysia.
Namun, kelab Pantai Timur itu berdepan cabaran besar selepas ini apabila mereka bakal berdepan finalis Piala FA 2023, Kuala Lumpur (KL) City FC.
Berkata mengenai pertembungan tersebut, Fandi yang memikul tanggungjawab ketua jurulatih sejak awal musim melihat skuad Warga Kota bukanlah satu lawan yang boleh dipandang rendah.
"Kita akan berusaha kerana KL City FC bukan calang-calang pasukan dan pasukan mereka juga sudah biasa memenangi piala selain kita juga perlu berwaspada.
Lucas Silva merupakan antara pemain yang dilanda kecederaan sepanjang musim. — Facebook/Sri Pahang FC
"Mudah-mudahan juga, kita tidak ada kecederaan lagi. Masalah kita musim ini adalah apabila terlalu banyak pemain yang sering cedera dan kita kekurangan pemain, lebih-lebih lagi penyerang," katanya kepada Astro Arena.
Berdasarkan pemerhatian terhadap skuad Tok Gajah, beberapa tonggak utama pasukan terpaksa melupakan aksi di pertengahan musim apabila bergelut dengan isu kecederaan.
Penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva dan perancang pasukan, Nor Azam Azih merupakan antara yang dibelenggu isu itu sehingga khidmat mereka tidak dapat ditagih dengan kerap.
Bagaimanapun, dalam aksi timbal balik Piala Malaysia itu, Fandi memilih untuk menurunkan Lucas dari bangku simpanan bagi memberikannya keserasian bersama pasukan.
"Walaupun hanya dalam 15 minit, mudah-mudahan dia dapat sihat. Rafael (Silva) pula belum berada di tahap terbaik tetapi kita mahu memberikannya motivasi supaya dapat bermain sekali-sekala," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram