Fans Perak FC mahu Yusri Che Lah gugurkan T. Shaheeswaran ketika aksi bertemu KDA FC


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Para pemain Perak FC giat menjalani latihan sebelum bertemu Kedah Darul Aman FC. — Facebook/Perak Football Club

KELAB Liga Super, Perak FC yang tempoh hari mencipta kejutan dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2023 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal sekali lagi menentang skuad kendalian Nafuzi Zain di Stadium Darul Aman untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan pertama yang diadakan pada 3 Ogos di Ipoh, Perak FC mencipta kejutan apabila menundukkan KDA apabila menewaskan mereka dengan jaringan 3-1 hasil gol daripada Luciano Guaycochea, Luka Milunovic dan Hakimi Mat Isa.

Kini membawa bekalan selesa ke Stadium Darul Aman untuk pada Jumaat jam 9 malam, skuad kendalian Yusri Che Lah pastinya mahu mengelak daripada terkena comeback yang pastinya dirancang oleh Nafuzi untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Tambahan pula, momentum KDA berada dalam keadaan baik ketika ini selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC dalam perlawanan sebelum ini dalam saingan Liga Super. Kemenangan itu cukup signifikan memandangkan skuad Tok Gajah bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

Dalam masa yang sama, Perak FC hadir dengan moral yang tidak baik kerana sebelum ini mereka dibelasah teruk oleh pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Bakal berdepan satu lagi cabaran getir, Perak FC nyata melakukan persiapan spesifik untuk mengekang kemaraan KDA yang pastinya akan menyerang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan.

Melihat kepada persiapan yang dilakukan oleh Perak FC, para penyokong sudah mula meramal yang The Bos Guarus akan bermain secara bertahan dan cuba menyerang apabila mempunyai ruang.

"Melihatkan kepada corak latihan yg bertumpukn kepada bola di udara dan kepantasan dapat dilihat kita berkemungkinan bermain dengan corak permainan counter attack untuk match berdepan KDA. InshaAllah kita boleh layak ke peringkat seterusnya!," kata penyokong The Bos Gaurus. Emma9179.

Malah, ada juga penyokong yang tidak meletakkan harapan tinggi Perak FC akan beroleh kemenangan. Cukup sekadar menang menerusi agregat sudah memadai.

"Cuba menang Yob, tak boleh menang cuba pertahankan (kelebihan agregat)," kata seorang lagi penyokong. AmirSuffi.

Menyedari cabaran getir menanti, penyokong Perak FC mahu Yusri tidak menurunkan T. Shaheeswaran di gawang mereka. Sebaliknya, permintaan agar penjaga gol lain diturunkan.

Hal ini kerana, mereka berasa gerun melihat aksi Shaheeswaran yang dianggap gementar setiap kali menjaga gawang Perak FC.

"Keeper kena perbanyakkan berlatih lagi. Try keeper lain dalam game akan datang," ujar penyokong bernama sofiana7664.

"Sila tukar keeper lain. Ni perlawanan penting. Daripada guna keeper mat gabra itu akan menyusahkan pertahanan Perak. Jangan cari keeper spoil," tegas penyokong yang dikenali sebagai orangbaik11.

Pemenang diantara Perak FC dan KDA FC akan bertemu sama ada Kuching City FC atau Sabah FC di peringkat suku akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram