Gol lipat Kpah Sherman, aksi hangat Aguero-Reuben warnai kemaraan Tok Gajah


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Kpah Sherman sekali lagi membuktikan kecemerlangannya bersama skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC menepati ramalan ramai apabila berjaya menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan kelab Liga M3, Harini FT dengan agregat 5-2.

Selepas memenangi perlawanan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada 4 Ogos lalu, skuad Tok Gajah menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menampilkan aksi lebih baik.

Perkara itu dapat disaksikan sejak wisel pertama perlawanan ditiupkan apabila tuan rumah melakukan serangan bertubi-tubi ke arah kubu pihak lawan untuk mendapatkan gol awal permainan.

Namun, percubaan demi percubaan yang dibuat tidak membuahkan hasil dengan keputusan terikat tanpa jaringan memasuki penghujung babak pertama.

Meskipun tidak disajikan dengan sebarang gol, penyokong kedua-dua pasukan masih memberi tumpuan terhadap perlawanan itu apabila tercetusnya pertembungan hangat di atas padang.

Insiden itu melibatkan kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero yang jelas tidak berpuas hati dengan tindakan pemain lawan, K Reuben untuk menyikunya dalam situasi off-ball.

WhatsApp Image 2023-08-20 at 19.42.00

Tangkap layar daripada situasi hangat antara Aguero dan Reuben.

Perkara tersebut bagaimanapun tidak berlanjutan apabila pengadil perlawanan hadir untuk meleraikan kedua-dua mereka bagi meneruskan permainan.

Tetapi, kebuntuan untuk menjaringkan gol akhirnya terjawab pada minit ke-43 perlawanan apabila skuad Tok Gajah meraih kelebihan menerusi jaringan akrobatik penyerang prolifik, Kpah Sherman.

Jaringan berkenaan diraih apabila pemain kelahiran Liberia itu melakukan percubaan cantik hasil umpanan kemas daripada Baqiuddin Shamsudin.

Memasuki separuh kedua permainan pula, asakan diteruskan pasukan bimbingan Fandi Ahmad membuahkan hasil apabila Kpah sekali lagi menggegarkan gawang Harini FT.

Selepas menempatkan dirinya dalam kotak penalti, pemain itu hanya perlu menunggu hantaran silang daripada Aguero sebelum menanduknya mengatasi penjaga gol lawan, Hafizul Hakim.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan pasukan Pantai Timur tersebut berjaya menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dan akan bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram