Skuad bimbingan Irfan Bakti buat JDT, Mario Gomez gentar 8 tahun lalu


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Mario Gomez boleh diangkat sebagai salah seorang pengendali terbaik pernah dimiliki JDT. — Agensi

LIGA Super pada 2016 menyaksikan 12 pasukan berentap untuk mengejar piala keramat itu dalam usaha mereka menghalang Johor Darul Takzim (JDT) bergelar juara untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pelbagai kejutan disajikan buat peminat bola sepak tanah air dengan kehadiran import dan bintang-bintang tempatan menghangatkan lagi suasana pada musim terbabit.

Namun, apa yang paling sukar dilupakan sehingga hari ini adalah mengenai kehadiran Felda United yang tidak dijangka akan menjadi pencabar kepada skuad Harimau Selatan.

Pasukan yang dikendalikan jurulatih legenda, Irfan Bakti Abu Salim memulakan kempen tanpa diberikan perhatian ramai memandangkan mereka hanya menamatkan saingan Liga Super 2015 di tangga kelima.

Tambahan pula, mereka yang kehilangan tonggak utama seperti Indra Putra Mahayuddin dan Latiff Suhaimi dijangka akan bergelut pada tahun tersebut.

WhatsApp Image 2023-08-18 at 11.51.36

Irfan Bakti berjaya mencipta magis ketika bersama Felda United.

Namun, keputusan pihak pengurusan untuk menggantikan mereka dengan membawa masuk pemain seperti Francis Forkey Doe dan Bobby Gonzales boleh dilihat sebagai pendekatan yang bijak.

Memasuki penghujung musim, Felda United terus memberikan tekanan buat JDT apabila kedua-dua pasukan hanya dibezakan empat mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Situasi itu cukup merisaukan pengendali JDT, Mario Gomez yang tidak mahu skuad Felda Fighters menamatkan rekod cemerlang mereka dalam Liga Super.

Pasukan Selatan tanah air tersebut juga berada di kelas tersendiri apabila mereka masih belum mengalami kekalahan dalam Liga Super setakat itu.

Tetapi, dengan Felda United beraksi dengan cemerlang, Gomez mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak mengambil mudah menjelang hari perlawanan antara kedua-dua pasukan pada 24 Ogos 2016.

felda-united

Felda United mempunyai skuad yang cukup istimewa pada 2016. Stadium Astro

Jadi, untuk menyuntik semangat, jurulatih kelahiran Argentina itu memberikan amaran awal tersebut selepas kemenangan yang diraih ketika berdepan PDRM FC kira-kira seminggu sebelum pertembungan berkenaan.

Peringatan itu jelas menjadi satu tonik buat skuad Harimau Selatan apabila mereka mudah menundukkan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Pahang dengan keputusan 3-2.

Gol daripada Amri Yahyah, Juan Martin Lucero dan Aidil Zafuan memastikan tiga mata dibawa pulang JDT meskipun skuad kendalian Irfan Bakti menjaringkan dua gol menerusi Syahid Zaidon dan Hadin Azman.

Kemenangan itu juga cukup bermakna buat mereka apabila skuad Harimau Selatan mencatatkan sejarah tersendiri apabila mereka tidak tewas sepanjang musim.

Bagi Felda United pula, kekalahan itu tidak memberi sebarang impak bermakna buat mereka apabila pasukan itu akhirnya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram