Ganti pemilik, jurulatih antara 5 'wishlist' fans Penang untuk exco baru


  • Podium
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Sebahagian aksi antara pemain Penang FC menentang Perak FC dalam saingan Liga Super 2023. — Instagram/officialpenangfc

PENANG FC memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan keputusan yang kurang memberangsangkan selepas hanya meraih lima kemenangan dalam 19 perlawanan Liga Super berlangsung.

Musim ini sahaja, Harimau Kumbang hanya mencatatkan lima kemenangan, empat seri dan 10 kekalahan dalam Liga Super selain hanya ke peringkat suku akhir Piala FA 2023 apabila tewas di tangan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT), dengan keputusan 0-5 pada 28 Mei lalu.

Oleh itu, dalam usaha untuk membuat kebangkitan dalam mengharungi baki musim, rata-rata penyokong Harimau Kumbang memberi pendapat agar Yang Berhormat (YB) Tuan Gooi Zi Sen dapat mengembalikan zaman kegemilangan skuad tersebut.

Pada Khamis, YB Tuan Gooi dilantik sebagai Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2023-08-17 at 19.15.50 (1)

YB Tuan Gooi Zi Sen. — Instagram/officialpenangfc

Berikut Majoriti menyenaraikan wishlist penyokong Penang FC untuk exco baru bagi pasukan itu.

1) Ganti ketua jurulatih

Penyokong memberikan pendapat agar melantik ketua jurulatih yang berkredibiliti dan berpengalaman dalam industri bola sepak. Mereka mahukan seseorang yang benar-benar 'proven' untuk memulihkan prestasi skuad Harimau Kumbang.

Mereka juga berasakan jurulatih berpengalaman seperti bekas pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti dapat membantu memperbaiki pasukan Harimau Kumbang untuk menghadapi baki saingan musim ini.

Ini kerana, Irfan Bakti sudah membuktikan rekod dalam Liga Malaysia yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.

2) Beri peluang kepada orang lain

Bukan sahaja menginginkan ketua jurulatih yang baharu malah penyokong juga berharap agar pihak pengurusan Penang FC merehatkan pengurus dan pengarah teknikal yang dianggap kurang berjaya membawa perubahan kepada Penang FC dalam beberapa musim ini.

Selain itu, penyokong juga berharap agar dapat melantik seseorang yang berpengalaman dan boleh bekerjasama daripada bola sepak akar umbi sehingga skuad senior di samping mempunyai kepakaran dalam scouting pemain.

3) Kaji semula gaji pekerja

Penyokong juga mengharapkan agar pihak pengurusan memperkukuhkan pengurusan pasukan yang dilihat semakin kurang kakitangan selain mengkaji gaji setimpal buat mereka.

Hal ini kerana, kadar gaji yang diberikan ketika ini disifatkan kurang setimpal dengan hasil kerja yang dilakukan oleh mereka.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh pihak pengurusan Penang FC yang mendedahkan bahawa pasukan itu kekurangan kakitangan.

4) Pemilik baharu

Rata-rata pasukan dalam Liga M mempunyai pemilik yang bukan sahaja bercita-cita besar, malah berkualiti dan berpengalaman luas.

Penyokong memberikan pendapat agar Penang FC mencari pemilik yang baharu untuk menggantikan pemilik sedia ada.

Hal ini kerana, Penang FC yang berstatus swasta itu memudahkan lagi untuk mendapatkan pemilik baharu.

Perkara itu dibangkitkan agar mengelak daripada menerima kecaman yang hanya menginginkan bantuan dari kerajaan.

5) Kaji kontrak pemain

Isu kewangan merupakan perkara yang sering melanda Liga M dan menjadi punca utama beberapa pemain dalam pasukan sukar menampilkan persembahan yang baik.

Rentetan daripada kejadian itu, ramai pemain Liga M mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab yang sering berdepan dengan isu tunggakan gaji.

Oleh itu, penyokong berharap agar exco baharu boleh mengkaji semula kontrak pemain agar mereka boleh memperbaiki mutu persembahan yang baik.

Sekiranya pihak pengurusan gagal melunaskan gaji kepada pemain sudah pasti ia akan mempengaruhi persembahan yang ditampilkan sekali gus memberikan impak negatif kepada seluruh pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram