PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) memperlihatkan kehebatan skuad itu selepas membuat perubahan drastik dalam Liga Malaysia (Liga M).
Perkara itu dibuktikan selepas skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super bermula dari tahun 2014 sehingga 2022.
Selepas mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dengan meraih kemenangan ke-20 berturut-turut, gelaran juara Liga Super musim ini semakin berada dalam genggaman skuad Harimau Selatan.
Dalam rekod Liga M musim ini, Kelantan antara pasukan yang berjaya membolosi pintu gawang JDT dengan dua jaringan sagu hati namun berakhir dengan kekalahan memalukan.
Kelantan pernah tewaskan JDT dalam Liga Super 2015. — Agensi
Bagaimanapun, lapan tahun lalu, Kelantan FC pernah menewaskan JDT dengan keputusan 4-3 dalam saingan Liga Super 2015 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
The Red Warriors (TRW) yang menduduki tangga kesembilan ketika itu melumpuhkan harapan Harimau Selatan untuk meraih kemenangan di laman pihak lawan.
Namun begitu, TRW terpaksa membayar harga yang mahal untuk kemenangan ketika itu selepas lima pemain menerima lima kad kuning.
Selepas membenam JDT, Kelantan hanya mempunyai 11 pemain untuk perlawanan terakhir menentang Selangor FC yang berlangsung di Stadium Shah Alam ketika itu.
Lebih memilukan lagi, TRW yang hanya mendaftarkan 22 pemain berbanding 25 pemain pada permulaan musim terpaksa kehilangan tonggak tengah, Brendan Gan dan pemain pertahanan Mohd Nazri Ahmad akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Kelantan yang berdepan Selangor FC juga pernah kehilangan lapan pemain iaitu lima daripadanya tidak dapat beraksi berikutan digantung perlawanan.
Manakala, tiga lagi pemain iaitu penyerang Ahmad Fakri Saarani, pertahanan Amiridzwan Taj Tajuddin dan pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan.
“Saya tidak fikir kami boleh menurunkan pasukan yang baik menentang Selangor.
“Kami telah mengumpul lebih 40 kad kuning musim ini dan ia agak membimbangkan. Kita perlu mengetahui mengapa hanya Kelantan yang mengalami masalah ini," kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim ketika itu.
Kini, Kelantan menduduki tangga tercorot dalam Liga Super 2023 dan berpotensi tersingkir ke saingan Liga M3. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram