PASUKAN Porto FC menerima kecaman oleh penyokong bola sepak di media sosial selepas pembukaan musim mereka memaparkan set-piece yang buruk.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Joaquim de Almeida Freitas, Portugal, dua orang pemain Porto FC melakukan kesilapan besar selepas gagal menyempurnakan tendangan percuma yang diberikan.
Selepas ketinggalan 1-0 dalam babak pertama, Porto cuba untuk mendapatkan gol penyamaan namun mensia-siakan peluang tersebut.
Menerusi satu hantaran video di Twitter, memaparkan perlawanan antara pasukan Porto FC menentang Moreirense FC dalam saingan Liga Perdana Portugal.
Dalam rakaman video tersebut, pemain sayap Porto FC, Otavio Monteiro dan bek kiri, Wendell Borges dilihat cuba untuk memperdayakan barisan benteng pertahanan lawan ketika mengambil sepakan percuma.
Kedua-dua pemain tersebut dilihat seolah-olah mempermainkan benteng pertahanan pihak lawan ketika mengambil sepakan percuma itu.
Namun, strategi memalsukan hantaran ke dalam kotak penalti itu gagal selepas Otavio melakukan sepakan yang tersasar jauh dari pintu gol dan dilihat kecewa dengan tindakan tersebut.
Rata-rata penyokong Porto itu mengecam tindakan kedua-dua pemain tersebut.
"Tendangan percuma paling teruk pernah ada dalam liga," kata Alya Vural.
"Antara aksi yang dibawa dari tempat latihan diterjemahkan atas padang," kata Jasmine.
"Pasti sukar untuk melakukan aksi tersebut, walaupun sudah beratus-ratus jam latihan," kata Ahmadardalan.eth.
Untuk rekod, pasukan Porto FC meraih kemenangan pertama dalam pusingan pembukaan musim ini dengan keputusan 2-1. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram