UBI muda Terengganu FC II (TFC II), Muslihudin Atiq Mat Zaid satu nama yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Walaupun kariernya tidak sehebat bintang Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi pada ketika ini namun, pemain berusia 21 tahun itu pernah menyinar ketika membantu negeri itu merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.
Malah, bakatnya tersebut bukan sahaja menarik perhatian JDT hingga kelab elit itu terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi apabila dikaitkan dengan pemain berkenaan.
Ia dipercayai susulan pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang memaklumkan pemain itu dirisik kelab JDT.
Untuk rekod, Muslihudin Atiq sekarang bermain di skuad TFC II sebagai pemain sayap kiri dan kerap diturunkan sebagai pemain utama.
Malah, dia juga pernah tersenarai dalam kem latihan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) bagi menghadapi saingan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam tahun lalu.
Walaupun pemain yang lebih mesra dipanggil Atiq itu pernah mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), namun ia tidak menghalang pemain tersebut untuk terus menyinar pada ketika ini.
Antara jaringan menarik yang pernah dijaringkan Muslihudin Atiq bersama skuad TFC II
Jika melihat kepada prestasi anak jati Terengganu itu, dia boleh dikatakan seorang pemain lincah dan versatil dengan kemampuan beraksi di kedua-dua sayap kiri dan kanan.
Ekoran itu, adalah penting bagi skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk mengambil khidmat pemain muda tersebut ke dalam skuad utama bagi menyuntik semangat berbeza sekali gus membolehkan kelab Pantai Timur berkenaan meneruskan pencapaian pada musim ini.
Malah, rata-rata penyokong berharap agar pihak pengurusan untuk terus 'mengikat' ubi muda tersebut bagi memastikan dia tidak terlepas kepada pasukan lain.
"Penyerang masa depan TFC dan skuad kebangsaan. Hantaran bola semua cantik, assist yang cukup padu dan kemas tetapi sayang pemain di hadapan tidak mengambil peluang untuk menjaringkan gol," kata Wizi Ganu.
"Ikat kontrak dahulu selama lima tahun, andai kata ada orang nak beli tebus kontrak sudah buat keuntungan pada kelab," kata Ruhaimi Fazli.
Sementara itu, Aril Mikael turut berharap agar pihak pengurusan menyerap masuk pemain tersebut.
"Dia (Atiq) kalau pihak pengurusan Terengganu tak serap masuk awal-awal, aku rasa akan pergi ke JDT juga tahun depan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram