SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara sedang melakukan persiapan rapi untuk Kejohanan Piala AFF B-23 yang akan diadakan di Rayong, Thailand bermula pada Jumaat.
Bagi pihak kejurulatihan, terdapat perubahan yang akan dibuat terhadap struktur jentera serangan dengan pengendali, E Elavarasan sebelum ini cukup gemar menggunakan pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli.
Namun, dengan penyerang itu tidak dipanggil, mereka dijangka akan meletakkan sandaran terhadap tonggak muda Kelantan FC, Harith Akif Shahar.
Ubi muda berusia 22 tahun tersebut diberikan peluang untuk kempen kali ini selepas menyerlah bersama skuad The Red Warriors (TRW) yang bergelut dalam Liga Super.
Harith dijangka akan memikul tanggungjawab besar ketika Piala AFF B-23 kali ini. — Facebook/FAM
Musim ini, penyerang terbabit sudah menjaringkan enam gol dengan empat daripadanya hadir dalam saingan Piala MFL sementara dua lagi diperoleh dalam Liga Super.
Statistik berkenaan sudah cukup untuk membuka mata Elavarasan untuk meletakkannya dalam senarai utama dengan Harith dilihat akan digandingkan di samping Daryl Sham KK George dan Aliff Izwan Yuslan.
"Saya tidak dapat menceritakan perasaan saya ketika ini. Sejak kecil lagi, saya meletakkan harapan untuk beraksi untuk negara dan kini, cita-cita itu sudah pun tercapai.
"Saya bersyukur atas peluang ini dan saya berharap dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Saya mahu membantu pasukan ini untuk mara sejauh mungkin," katanya.
Berdasarkan senarai akhir yang dikeluarkan, seramai tiga pemain dari Kelantan FC dipanggil untuk kempen kali ini, iaitu Harith, Firdaus Hasnoddin serta M Rakesh.
Jelas Harith lagi, perasaan gugup sememangnya dirasai ketika sesi latihan pertama memandangkan ia merupakan sesuatu yang baharu buatnya.
Skuad B-23 negara akan berdepan Indonesia dalam aksi pembukaan yang bakal berlangsung di Stadium Rayong, Thailand sebelum berdepan Timor Leste pada 22 Ogos. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram