[VIDEO] Bekas bintang Leicester 'tubik' awal, penat tunggu rayuan TRW diterima


  • Podium
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Sesay ketika beraksi bersama skuad simpanan Leicester City. — Agensi

PEMAIN baharu Kelantan FC, Alie Sesay tidak dapat meneruskan niat untuk mencari rezeki di tanah air dan mengembangkan lagi karier dalam bola sepak selepas pasukan Pantai Timur itu dilaporkan masih dihalang daripada menggunakan tenaga import.

Menerusi video tular di Facebook, bek tengah berusia 29 tahun itu dilihat sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sepertinya Sesay memilih untuk pulang lebih awal kerana isu pendaftaran yang dialami majikannya itu.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad The Red Warriors (TRW) difahamkan masih tidak boleh mendaftarkan empat pemain import yang baharu ditandagani mereka pada jendela perpindahan Julai lalu.

Menurut badan induk bola sepak negara itu, rayuan kali pertama yang dikemukakan FAM untuk pendaftaran tonggak import baharu Kelantan ditolak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bagi rayuan kedua pula, pihak FAM masih belum menerima apa-apa jawapan berhubung isu tersebut dan disebabkan itu, empat pemain baharu iaitu Ahmed Magdy, Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening dan Sesay tidak dapat lagi beraksi untuk TRW.

Sebelum ini, bekas bintang kelab England, Leicester City dan tiga pemain import itu turun ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bagi menyaksikan perlawanan Liga Super skuad TRW.

Sesay dibawa masuk ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan masalah pertahanan yang berlaku di pasukan kendalian Alfredo Vera terutamanya selepas TRW sudah melepaskan 76 gol pada musim ini.

Namun hasrat untuk menyaksikan Sesay menjaga benteng Kelantan nampaknya terpaksa dilupakan oleh pengendali Argentina itu dan khidmat pemain sedia ada perlu menjadi sandaran bekas naib juara Liga Perdana 2022 tersebut.

Untuk rekod, Sesay beraksi untuk Leicester City antara tahun 2012 hingga 2016 dan dia juga pernah bermain untuk beberapa kelab di England seperti Colchester United, Cambridge United dan Barnet.

Sebelum menyertai pasukan yang dimiliki Norizam Tukiman itu, pertahanan kental itu berkelana di Hong Kong bersama kelab Lee Man bagi musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram