
PENYERANG berbisa Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun menyeru agar penyokong membanjiri Stadium Darul Aman, Kedah ketika aksi timbal balik Piala Malaysia pada Jumaat.
Mereka yang tewas dalam perlawanan pertama dengan keputusan 1-3 perlu menampilkan aksi terbaik untuk memastikan kemaraan pasukan ke peringkat seterusnya.
Dua gol tanpa balas di laman sendiri akan menyaksikan skuad Sang Kenari menempah tiket ke suku akhir selepas gagal melakukan sedemikian musim lalu.
Bagi Ifedayo, sasaran itu mampu dicapai sekiranya penyokong Hijau Kuning dapat hadir ke stadium untuk memberikan suntikan moral kepada 11 pemain di atas padang.
"Ini adalah Piala Malaysia, semangat untuk perlawanan ini berbeza dengan suasana ketika perlawanan Liga Super. Saya menghormati Perak FC, tetapi kami beraksi di laman sendiri kali ini.
"Ketika pertembungan kali pertama, mereka sudah menerima bantuan daripada penyokong mereka. Kali ini, kami amat mengharapkan perkara yang sama daripada penyokong sendiri," katanya.
Sejak menyertai KDA FC Julai lalu, penyerang kelahiran Nigeria itu berjaya menampilkan aksi terbaik apabila sudah menjaringkan lima gol dalam empat penampilan Liga Super.
Dia yang tiba dengan harapan untuk menggantikan Willian Lira tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri di Utara tanah air.
"Sebagai seorang penyerang, saya sering turun dengan harapan untuk menjaringkan gol. Tetapi, untuk perlawanan kali ini, kesemua pemain perlu memberikan aksi lebih baik seperti sebelum ini," tambahnya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram