PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman mendakwa ada ramai pihak yang tidak senang dengan beliau di kelab tersebut lantas pelbagai fitnah diberikan utnuk memburukkan nama The Red Warriors.
Beliau berkata demikian selepas tular iklan jawatan kosong yang mengatakan kelabnya kini sedang mencari pengarah teknikal. Namun begitu, jumlah gaji yang ditawarkan adalah setaraf fresh grad sahaja.
Bercakap kepada Majoriti, Norizam atau lebih dikenali dengan nama Zamsaham berkata tangga gaji seorang pengarah teknikal di kelabnya tidaklah serendah seperti yang diwar-warkan dalam iklan tersebut.
Beliau juga berkata yang iklan itu adalah fitnah yang cuba ditabur oleh haters Kelantan FC bagi mencemarkan nama kelab tersebut.
"Memang saya nampak daripada awal musim (Liga Super 2023) sampai sekarang, ada sekumpulan (pihak) yang memang tak suka Kelantan ni maju sebab tahun lepas kami hampir jadi juara Liga Premier.
"Mungkin ada berita tu yang betul, ada yang tak betul, tapi menambahkan sensasi untuk memburuk-burukkan Kelantan itu sudah ada daripada awal musim," kata Norizam.
Pada hemat Norizam, iklan yang disiarkan itu nyata tidak berasas kerana Kelantan FC sendiri sudah mempunyai individu yang menjawat jawatan pengarah teknikal di kelabnya. Mantan pengarah teknikal PDRM FC, Ariff Hashim merupakan individu yang menyandang jawatan tersebut di Kelantan FC ketika ini.
Norizam juga mengatakan fitnah yang ditujukan kepada dirinya dan Kelantan FC datang daripada 'parasit' yang hadir dari pihak dalaman kelabnya. Namun begitu, beliau enggan untuk mengulas lanjut siapakah individu-individu yang dimaksudkan itu.
"Kita ada kenal pasti parasit-parasit daripada pihak dalaman dan luaran yang bergabung tenaga untuk menjatuhkan Kelantan FC. Tapi apa pun, saya tetap jalan terus serta positif dan lalui semua masalah yang ada," tambah Norizam lagi.
Menurut Norizam, iklan yang disiarkan di laman pencarian kerja JobStreet itu adalah palsu kerana Kelantan FC hanya menghebahkan kekosongan jawatan di kelab tersebut menerusi laman Facebook mereka sahaja.
Aksi seterusnya buat Kelantan FC adalah perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim di Iskandar Puteri pada 19 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram