KEKURANGAN pemain import baharu jelas menjejaskan keupayaan Kelantan untuk memberi tentangan kuat apabila mereka dibelasah 0-8 oleh Terengganu FC (TFC) di halaman rumah sendiri pada Isnin.
Penyokong The Red Warrior bukan sahaja terpaksa menunggu lama kerana aksi ditangguhkan selama satu jam setengah susulan hujan lebat tetapi terpaksa menerima kekalahan memalukan selama 70 minit di Stadium Sultan Muhd IV di Kota Baru.
Pemain import dari Croatia, Ivan Mamut meledak hatrik dengan menjaringkan gol pada minit ke-14, ke-53 dan ke-66.
Jaringan gol lain TFC dicetak oleh pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov (27’), Nik Mohd Sharif Haseefy Mohd Lazim (36’), Engku Mohd Nur Shakir Engku Yacob (41’), Safwan Mazlan (47’) dan Hakimi Abdullah pada minit ke-63.
Kesengsaraan Kelantan bermula apabila badan induk bola sepak dunia, FIFA menolak pendaftaran terbaru empat import baharu iaitu Aliakbar Ahmadi (Iran), Allie Sisse (Senegal), Ahmed Magdy (Mesir) dan Dennis Buschening (Jerman) susulan kemelut gaji sebelum ini.
Selepas kekalahan dengan jaringan besar itu, Kelantan kini berada di tangga kedua dari bawah dalam Liga Super dengan hanya lapan mata selepas 20 perlawanan.
Jurulatih Kelantan, Alfredo Vera berkata, dia tidak faham apa yang berlaku sehingga mereka melepaskan begitu banyak gol tetapi mengakui Terengganu bermain dengan sangat baik dan sukar untuk ditewaskan.
Tambahnya, Kelantan kini hanya perlu menggunakan pemain sedia ada untuk meneruskan baki musim ini selepas FIFA menolak pendaftaran empat import baharu mereka.
Vera masih mencari punca pasukan kendaliannya kalah dengan jaringan besar di tangan TFC. — Facebook/TRW
“Kami telah beraksi dengan baik tetapi kami tidak boleh menandingi permainan mereka (Terengganu). Selepas melepaskan beberapa gol, moral pemain kami juga mula merosot.
“Kami perlu fokus dan menggunakan pemain muda yang ada untuk lawan kami seterusnya Johor Darul Takzim,” kata bekas pengurus pasukan Indonesia, Persita Tangerang itu.
Sementara itu, pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner berkata, beliau gembira dengan margin kemenangan terbesar yang dicatatkan oleh pasukannya sejak permulaan musim.
“Perlawanan malam ini (Isnin) tidak begitu sukar namun bukan mudah untuk menjaringkan gol, tetapi Sony (Sony Norde) melakukan banyak hantaran dan pemain import banyak membantu. Saya juga gembira dengan beberapa pemain muda yang bermain dengan baik,” katanya.
Malah, pengendali dari Croatia itu turut bersimpati dengan nasib Kelantan yang tidak dapat mendaftarkan pemain import dan terpaksa menurunkan barisan pemain yang sama untuk perlawanan seterusnya.
“Mereka hanya mempunyai dua import, jadi itu pasti kelebihan buat kami. Saya tidak tahu bagaimana perasaan jurulatih mereka (Vera) selepas keputusan 8-0, ia pastinya bukan perasaan yang baik,” ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram