[VIDEO] Selepas dipujuk PJBM, Frank Bernhardt dedah situasi tidur di bilik stor


  • Podium
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Bernhardt sebelum ini digugurkan kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan. — Facebook/TRW

“TERUS terang kepada media.”

Demikian teguran yang diberikan oleh Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully kepada bekas jurulatih The Red Warriors (TRW), Frank Bernhardt selepas tidak mahu mendedahkan perkara sebenar.

Sebelum berkongsi perkara sebenar kepada pemberita, Bernhardt menafikan perkara sebenar mengenai situasinya yang difahamkan menginap di bilik stor milik rakannya.

Namun hasil perbincangan bersama Richard dan barisan Exco PJBM, pengendali dari Jerman itu akhirnya membuka mulutnya untuk memberitahu perkara sebenar kepada media.

Ketua jurulatih berusia 53 tahun itu akhirnya tidak menafikan bahawa dia menginap dua hari di sebuah stor milik rakannya yang juga merupakan individu yang pernah bekerja sekali bersamanya sebelum ini.

“Saya mengakui bahawa memang ada duduk di bilik stor. Saya ada di sana duduk dalam dua hari. Saya tak sorok apa-apa dah. Ia bukan stor kerana ia tidaklah seperti yang dibayangkan. Saya duduk dua malam sebab dah lewat nak balik.

“Tapi untuk menggambarkan bilik stor sangat teruk kerana ia adalah bilik yang ada katil, tandas dan ada dapur. Ia macam apartmen,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui di sebuah hotel berlokasi di ibu negara pada Sabtu.

Malah, Bernhardt yang juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Teknikal Kelantan itu berkongsi bahawa dia masih mempunyai wang untuk meneruskan kehidupan di Malaysia dan bukanlah seperti yang dibayangkan oleh para penyokong.

Tambahnya, kini beliau masih mempunyai wang untuk menginap di hotel namun hanya ingin menunggu tiket penerbangan daripada majikannya iaitu pengurusan Kelantan FC.

“Saya ada duit lagi untuk menginap di hotel tapi saya datang menginap di bilik itu kerana dia (kawan) ajak saya. Kami (dengan pengurusan Kelantan FC) tiada apa-apa isu, kami respect sesama kami cuma nak tunggu duit tiket flight.

“Saya ada dua malam di sana. Saya tak tipu mengenai perkara itu namun saya tak pernah duduk di kereta seperti yang dilaporkan,” tambahnya.

Sementara itu, ejen kepada Bernhardt iaitu Sherif Shekoo menjelaskan bahawa pihak pengurusan Kelantan sedang menyiapkan tiket penerbangan tersebut dan difahamkan kira-kira seminggu lagi ia akan diberikan kepada pengendali tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram