
DALAM dua bulan lalu, heboh mengenai ura-ura usahawan selebriti, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau mesra dipanggil Datuk Seri Vida (DSV) ingin memgambil alih Kelantan FC selepas pelbagai masalah dalaman seperti masalah gaji dialami pasukan Pantai Timur itu.
DSV yang pernah menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017 dianggap antara individu sesuai untuk mengambil semula The Red Warriors (TRW).
Namun sejak kebelakangan ini, isu pemilikan baharu Kelantan semakin pudar daripada menjadi topik utama dibincangkan dan pemilik kelab, Norizam Tukiman dijangka tidak akan menjual Kelantan FC.
Mana tidaknya, sebahagian penyokong juga masih mahukan usahawan dari Johor itu menguruskan bekas naib juara Liga Perdana musim 2021 itu dan Norizam juga sepertinya enggan melepaskan skuad TRW.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pernah menjelaskan pendiriannya bahawa beliau akan kekal menerajui Kelantan FC untuk tempoh semusim lagi jika masih ramai penyokong memberi sokongan kepadanya.
Seperti sudah mengangkat bendera putih daripada mengembalikan Kelantan ke zaman kegemilangannya, DSV nampaknya sudah beralih arah untuk memiliki pasukan Liga Super lain iaitu Sabah FC.
Tangkap layar Insta Story Marzuki Nasir.
Khabar angin usahawan kosmetik itu ingin mengambil alih The Rhinos timbul apabila DSV dilihat bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan Ketua Pemasaran dan Media The Rhinos, Farish Aziz.
Ia dianggap bukan sekadar gambar biasa oleh penyokong apabila Farish dilihat memuat naik kapsyen ‘hantar-hantar resume dulu untuk 2024’ dan seperti merujuk bahawa DSV berminat untuk menyertai Sabah FC.
Sekalipun tidak ingin memiliki 100 peratus Sabah FC, DSV juga dianggap berminat untuk menjadi penaja utama The Rhinos pada musim depan.
Sekiranya DSV menjadi sebahagian daripada keluarga Sabah FC, beliau pastinya berkemampuan untuk menambah baik struktur kewangan kelab Borneo tersebut.
Dengan kewangan Sabah FC yang masih bergantung kepada kerajaan negeri, pastinya banyak kekangan dihadapi kelab tersebut untuk menambah baik fasiliti seperti padang latihan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram