Enggan lepas pemain wakili negara, pengurus Indonesia mengamuk sikap 2 jurulatih import


  • Podium
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Sumardji menegaskan Indonesia memerlukan pemain yang dipanggil untuk mempertahankan pasukan kebangsaan.  — Agensi

PENGURUS Pasukan Kebangsaan Indonesia (BTN) Sumardji berang terhadap tindakan beberapa kelab yang menahan pemain daripada menyertai skuad Garuda Indonesia Bawah (B-23) menghadapi Kejuaraan B-23 Piala AFF 2023 di Rayong, Thailand bermula 17 hingga 26 Ogos 2023 ini.

Pasukan kebangsaan Indonesia B-23 telah memulakan latihan pertamanya menjelang kejohanan tersebut di Lapangan A Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Khamis.

Seramai 17 pemain hadir manakala enam tonggak lagi masih tidak berhasil melaporkan diri dalam latihan pertama yang diketuai oleh pengendali, Shin Tae-yong.

Enam pemain yang tidak hadir di kem latihan pasukan kebangsaan Indonesia B-23 pada Khamis adalah Alfeandra Dewangga, Kadek Arel, Muhammad Adi Satryo, Rizky Ridho, Dzaky Asraf, dan Beckham Putra.

"Kelab yang tidak lepaskan pemain itu ialah Persija Jakarta dan yang kedua PSM Makassar. Apa yang perlu saya sampaikan dan maklumkan, mereka dipanggil demi kepentingan negara untuk memperkuatkan pasukan negara. Tapi mereka tidak dilepaskan oleh jurulatih," kata Sumardji, Khamis.

Sumardji seterusnya menegaskan Indonesia memerlukan pemain yang dipanggil untuk mempertahankan pasukan kebangsaan.

“Skuad ini memerlukan tenaga dan kepakaran pemain diperlukan. Tetapi jika jurulatih import yang berada di negara ini dan mencari makan di sini menyukarkan keadaan, akhirnya rakyat boleh menilai sendiri," tambahnya.

Beliau menambah akan melaporkan kelab yang memegang pemain itu kepada Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

"Jadi saya akan laporkan perkara ini kepada Presiden PSSI agar ada tindakan yang akan dilakukan nanti. Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku,” jelasnya.

Piala AFF B-23 2023 akan berlangsung dari 17 hingga 26 Ogos di Thailand yang mana menyaksikan Indonesia berada dalam Kumpulan B bersama Timor Leste dan Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram