[VIDEO] Rumah bekas bintang Arsenal kena pecah masuk ketika aksi 'friendly', jam Rolex cecah RM1 juta hilang


  • Podium
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Rumah Guendouzi dipecah masuk sekumpulan penyamun ketika dia sibuk beraksi untuk perlawanan persahabatan. — Agensi

KEJADIAN malang menimpa pemain Marseille, Matteo Guendouzi apabila sekumpulan penyamun memecah masuk rumahnya ketika dia sedang sibuk beraksi bagi perlawanan persahabatan.

Menurut media Perancis, La Provence, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 10:30 malam (4:30 pagi waktu Malaysia) ketika Guendouzi menjadi antara pemain utama dalam perlawanan persahabatan menentang Bayer Leverkusen di Velodrom Stade, Marseille, Perancis pada Khamis waktu Malaysia.

Difahamkan, isteri kepada bekas pemain Arsenal tu menyedari kejadian berkenaan kerana terdengar bunyi penggera yang dipasang untuk menghalang pencuri dan segera menghubungi polis.

Tindakan pantas daripada wanita itu berhasil untuk menghalau pencuri tersebut dan difahamkan tiada kecederaan fizikal dilaporkan semasa kejadian.

Bagaimanapun, jam tangan Rolex mewah yang dianggarkan bernilai hampir €200,000 (RM 1 juta) menjadi tangkapan sekumpulan penyamun tersebut.

Ini bukan kejadian pertama pecah rumah di kediaman pemain bola sepak di Perancis yang mana sebelum ini bekas pemain Arsenal juga, Sead Kolasinac turut menjadi mangsa.

Kejadian berlaku ketika dia sibuk bermain perlawanan pusingan ke-32 untuk saingan Coupe de France menentang Stade Rennais, manakala pasangan dan anak perempuannya berada di rumah.

Penjaga gol Paris Saint Germain, Gianluigi Donnarumma dan rakannya turut diserang dan dirompak di rumah mereka di Paris, dengan pencuri pergi dengan barangan bernilai sekitar €500,000 (RM 2.5 juta).

Guendouzi berharap dapat mengatasi kejadian itu secepat mungkin kerana dia mempunyai perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara UEFA menentang Panathinaikos pada Rabu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram