Solari kongsi 'taktik' JDT baham Sang Seladang


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Di bawah kendalian Solari, JDT sudah menjaringkan 79 gol dan hanya bolos empat setakat 20 aksi Liga Super musim ini. — Facebook/JDT

MELAKAR kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut nampaknya bakal menjadi penutup indah buat Johor Darul Takzim (JDT) musim ini.

Selepas menumpaskan Perak 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Ahad, Harimau Selatan hanya memerlukan satu lagi kemenangan dan berharap Selangor yang berada di tempat kedua akan kehilangan mata dalam dua perlawanan seterusnya untuk dinobatkan sebagai juara sekali lagi.

Aksi menentang The Bos Gaurus (TBG) juga adalah kemenangan ke-20 berturut-turut untuk Harimau Selatan pada musim ini.

Begitulah penguasaan JDT dalam saingan domestik sehingga ramai penyokong percaya juara Piala FA 2023 itu akan mengekalkan rekod mereka dengan menamatkan musim dengan 26 kemenangan.

Pengendalinya, Esteban Solari masih meneruskan usahanya untuk mencipta rekod baharu yang kini sudah menjaringkan 79 gol dan hanya bolos empat kali.

“Sebelum perlawanan Perak, saya memberitahu anak-anak buah saya untuk menganggapnya seperti final kedua. Perlawanan akhir pertama menentang Sabah, yang kami menang 5-1, dan kini kami sudah menewaskan Perak 5-0. Kini perlawanan seterusnya kami, iaitu menentang Kedah pada 26 Ogos, akan menjadi seperti final ketiga.

“Kami hampir mencapai sasaran kami, iaitu kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut. Bukan mudah untuk menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan. Dari segi mental, kami sentiasa kuat dan tegas. Kami juga menghormati lawan kami dan tidak pernah memandang rendah mereka.

''Bola sepak cara kami adalah sentiasa menyerang dan apabila kami kehilangan bola, kami menekan secara agresif untuk mendapatkannya semula,” katanya.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 09.02.04-2

Fernandes mencetak jaringan gol pertama buat JDT pada aksi itu. — Facebook/JDT

Meskipun terlepas khidmat pemain seperti penyerang Brazil, Diogo Santo; pemain tengah Argentina, Leandro Velasquez dan penyerang, Fernando Forestieri ketika aksi menentang Perak namun Harimau Selatan masih sukar digugat kekuatannya.

Kesemua lima gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain berbeza iaitu dari penyerang Brazil Heberty Fernandes (minit ke-21); bek kanan, Matthew Davies (ke-27); penyerang Brazil, Bergson Da Silva (ke-35); bek kiri Sepanyol-Filipina, Oscar Arribas (minit ke-55) dan perancang tengah Sepanyol, Juan Muniz (ke-66).

JDT yang sudah merangkul kejuaraan treble pada musim lepas juga melakukan 25 percubaan ke arah gawang pada perlawanan tersebut, manakala Perak hanya mampu membuat dua percubaan tepat.

Dalam pada itu, bercerita mengenai Fernandes yang menyertai JDT pada Julai lalu, pemain berusia 34 tahun itu mengurangkan kebimbangan pasukan selepas kehilangan khidmat penyerang utama Forestieri kerana mengalami kecederaan lutut.

Bekas pemain Ratchaburi itu memberi aksi yang mengagumkan dengan menjaringkan tiga gol dalam hanya dua perlawanan Liga Super.

Oleh itu, tidak hairanlah jika Solari gembira dengan sumbangan Fernandes setakat ini dan melabelnya sebagai seorang pemain yang mempunyai kelasnya tersendiri.

“Anda boleh lihat kualitinya. Dia seorang profesional yang mempunyai kelas dan bukan sahaja menjaringkan gol, tetapi dia membuatkan orang di sekelilingnya bermain lebih baik,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram