Rakan baik ex TFC maut dalam kemalangan ngeri bersama 2 staf kelab


  • Podium
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Kereta yang membawa tiga ahli kelab bola sepak Hoang Anh Gia Lai itu remuk di antara dua trak pada Sabtu. — Agensi 

PENYERANG Portugal, Paollo Madeira Oliveira bersama seorang penolong jurulatih dan seorang doktor untuk kelab bola sepak, Hoang Anh Gia Lai meninggal dunia pada Sabtu selepas kereta mereka dirempuh antara dua trak.

Difahamkan kereta itu dipandu di Lebuhraya Kebangsaan 14 di Daerah Chu Puh, Gia Lai, Pleiku, Vietnam apabila mereka dirempuh sebuah lori dari belakang kira-kira pukul 3 petang.

Rempuhan itu menyebabkan kereta yang membawa ketiga-tiga mangsa itu tertolak ke arah sebuah lori lain dari arah bertentangan dan akhirnya terhimpit di antara dua kenderaan besar tersebut.

Memetik laporan media Vietnam, penduduk tempatan terpaksa memecahkan pintu kereta untuk membawa empat orang termasuk pemandu keluar dari kereta.

Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Daerah Chu Puh, Le Quang Thai berkata, tiga penumpang kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu berusia 57 tahun pula dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah.

Sebelum kemalangan ngeri itu, pasukan Liga Divisyen satu Vietnam, Hoang Anh Gia Lai tewas 0-1 kepada Song Lam Nghe An pada Jumaat dalam pusingan akhir kumpulan B dalam pusingan kedua Liga-V 2023.

Presiden kelab itu, Doan Nguyen Duc berkata, ahli pasukan yang terlibat dalam kemalangan itu ialah Penolong jurulatih, Duong Minh Ninh (48 tahun), Doan Trong Tri (29 tahun), dan penyerang berusia 27 tahun iaitu Paollo Madeira yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

"Saya terkejut kerana kemalangan itu. Ia adalah satu kehilangan besar kepada kelab," katanya dalam satu laporan media.

WhatsApp Image 2023-08-13 at 19.31.21

Diakite bersama Paollo Madeira. — Instagram/Diakite

Dalam pada itu, bekas pemain import Terengganu FC (TFC), Pape Diakite masih tidak mempercayai rakan sepasukan dan rakan karibnya di kelab tersebut maut dalam kemalangan berkenaan.

Sejak menyertai pasukan Vietnam tersebut pada awal musim ini, Diakite mempunyai hubungan baik Paollo Madeira yang berusia 27 tahun itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram