[VIDEO] Bobie 'belanja' suasana bilik persalinan aksi Perak-Penang


  • Podium
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Skuad TBG mula mencipta kebangkitan tersendiri selepas memulakan kempen dengan langkah kiri. — Facebook/Perak FC

SETELAH seakan-akan mula berputus asa dengan nasib Perak FC musim ini, penyokong pasukan Utara tanah air tersebut dilihat mula kembali tertarik dengan perkembangan semasa kelab.

Kemenangan mengejutkan yang diraih ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Piala Malaysia memberikan gambaran bahawa terdapat kebangkitan sedang direncanakan pihak pengurusan.

Meskipun mereka masih perlu beraksi di Stadium Darul Aman, Kedah untuk aksi timbal balik, bekalan dua gol yang dicatatkan memberi satu harapan menggunung buat peminat setia pasukan.

Tidak cukup dengan itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) bertekad tidak mahu membiarkan momentum tersebut terhenti begitu sahaja apabila sekali lagi meraih kemenangan bermakna.

Pertembungan antara pasukan tersebut dengan Penang FC di laman sendiri dalam aksi Liga Super Rabu lalu diberikan penekanan penuh oleh ketua jurulatih, Yusri Che Lah yang berhasrat untuk mengumpul tiga mata berharga.

366498566_301922915721424_1012561208559188085_n

Bobie (kanan) sempat menyaksikan aksi Liga Super antara Perak FC dan Penang FC. Facebook/Perak FC

Semangat itu seakan-akan turut dirasai pemain yang diturunkan apabila mereka menampilkan persembahan cukup bertenaga seawal minit pertama permainan.

Titik peluh itu akhirnya membuahkan hasil apabila skuad TBG merekodkan kemenangan selesa 3-1 dengan Luciano Guaycochea, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Seo Seon-ung masing-masing memperolehi satu gol.

Kebangkitan tersebut pastinya cukup menarik minat penyokong Perak FC yang mula tertarik dengan pendekatan diambil Yusri serta pasukan kejurulatihannya beberapa minggu kebelakangan ini.

Di samping melakukan perubahan taktikal, ada juga yang berasakan pengendali kelahiran Kangar, Perlis itu berjaya mencipta satu suasana positif antara pemain.

Pandangan itu diperkukuhkan dengan perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin yang berkongsi keadaan di bilik persalinan ketika perlawanan antara Perak FC dan Penang FC.

Berdasarkan satu klip yang dikongsikan di TikTok peribadinya, kelihatan pemain sedang berehat sementara Yusri memberikan mesej untuk membakar semangat anak-anak buahnya.

Antara kata-kata yang didengari adalah ketika mana ketua jurulatih itu mengingatkan agar tidak terlalu lama mengawal bola sehingga mensia-siakan pengusaan pasukan.

"Lihat rakan sepasukan yang berada di hadapan, sekiranya anda memilih untuk menggerakkan pasukan di mana-mana bahagian sayap, kita datang dan sokong mereka itu," katanya.

Tidak cukup dengan itu, jurulatih berusia 47 tahun tersebut turut mengingatkan barisan pertahanannya agar peka dengan pemain lawan, terutamanya Abdul Abdeen Temitope.

Meskipun pelantikan Yusri untuk menggantikan Datuk Lim Teong Kim sebelum ini kurang disokong orang ramai, kehadirannya memberikan nafas baharu buat skuad TBG.

Pasukan itu ketika ini sudah berada di tangga ke-10 Liga Super dengan tiga mata membezakan mereka dengan Penang FC yang mengumpul 19 mata.

Selepas ini, Perak FC berdepan cabaran getir untuk meneruskan momentum cemerlang tersebut apabila mereka bakal berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Ahad akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram