Bek JDT akui Liga Indonesia makin ke depan, hubungi 3 kawan sebelum berhijrah ke negara jiran


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Junior (kiri) mendedahkan perasaannya menyertai Dewa United selepas dipinjamkan selama enam bulan dari JDT. — Facebook/DewaUnited

PADA Julai lalu, pemain pertahanan Harimau Malaya, Junior Eldstal terus berkelana ke luar negara dengan menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Dewa United secara pinjaman.

Perpindahannya itu secara tidak langsung menjadikan ia sebagai kelab ketiga di luar negara apabila sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan Thailand, PT Prachuap dan Chonburi.

Difahamkan, pemain berusia 31 tahun itu mendedahkan selepas dipinjamkan selama enam bulan dari Johor Darul Takzim (JDT), dia akan menandatangani kontrak secara tetap untuk kelab Indonesia tersebut sehingga penghujung musim iaitu pertengahan 2024.

Berkongsi mengenai pendapatnya yang pertama kali beraksi di saingan Indonesia, bekas pemain remaja Reading itu cukup mengagumi suasana liga di negara jiran tersebut.

“Ini pertama kali saya main di Indonesia tapi saya ada main ketika Malaysia menentang Indonesia. Jadi saya ada nampak Indonesia sekarang jadi yang terbaik, liga yang terbaik.

“Jauh lebih kompetitif, banyak pasukan boleh menang, banyak yang boleh disingkirkan. Jadi saingan sengit, saya suka,” katanya memetik temu bual dari laman Youtube Dewa United.

WhatsApp Image 2023-08-09 at 18.23.30

Junior ketika diumumkan menjadi pemain Dewa United. — Facebook/DewaUnited

Kongsinya lagi, sebelum memutuskan untuk meneruskan karier bola sepak di Indonesia, Junior sempat menghubungi beberapa rakannya untuk meminta pendapat.

Dua rakan tersebut ialah bekas pemain Liga Thailand, Port FC iaitu Elias Dolah, Marko Simic dan Stefano Lilipaly yang bermain untuk Borneo FC.

“Saya kenal pemain seperti Stefano dari Borneo. Ada kawan dari Thailand yang ke Bali iaitu Elias Dollah. Jadi sebelum saya datang, saya ada tanya mereka macam mana kehidupan dan liga sana.

“Semua cakap yang sangat bagus. Mereka beri keyakinan untuk saya datang ke Indonesia,” tambahnya.

Sebelum ini, Junior mendedahkan bahawa dia memutuskan untuk menyertai Dewa United kerana mereka berada di bawah bimbingan jurulatih Belanda, Jan Olde Riekerink.

Pengendali itu pernah melatih pemain di Akademi Ajax dan kemudian melatih pasukan Eropah seperti Gent (Belgium), Galatasaray (Turki) dan SC Heerenveen (Holland). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram