PEMAIN Accrington Stanley, Korede Adedoyin mempunyai malam yang tidak dapat dilupakan selepas gagal melakukan percubaan penalti semasa kekalahan kepada Bradford City.
Perlawanan pusingan pertama Piala Carabao itu berakhir dengan penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam 90 minit masa permainan sebenar dengan Alexander Pattison menjaringkan gol untuk pelawat sebelum Josh Andrews menyamakan kedudukan untuk Accrington.
Kedua-dua pasukan menjaringkan penalti pertama masing-masing sebelum Accrington tersasar dan Bradford menjaringkan gol sehingga menyebabkan keadaan tidak berpihak pada tuan rumah.
Bradford kemudian menjaringkan penalti ketiga mereka dan meninggalkan semua tekanan kepada Adedoyin yang berusia 22 tahun untuk memberi pasukannya peluang memenangi penentuan sepakan penalti itu.
Namun, nasib tidak menyebelahi kepada pemain tengah itu apabila sepakannya tidak menjadi seperti yang dirancang kerana dia tergelincir ketika dia menendang bola.
Bola itu akhirnya melantun darinya dan sekadar 'meleleh' ke arah gawang yang dapat ditepis oleh penjaga gol Bradford, Harry Lewis.
Tendangan penalti itu membuatkan penyokong Bradford ketawa dan akhirnya kemenangan berpihak kepada pasukan pelawat.
Adedoyin kelihatan kecewa dengan situasi itu, sambil meletakkan tangannya di kepalanya dan berjalan kembali kepada rakan sepasukannya.
Perlawanan di Crown Ground adalah salah satu daripada 10 perlawanan Piala Carabao pada Rabu yang terpaksa berlanjutan ke penentuan sepakan penalti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram