PENYERANG import PDRM FC, Bruno Suzuki sah memeluk Islam di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Rabu.
Difahamkan, pemain berusia 33 tahun tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M. Rajoli.
Berita baik tersebut turut dikongsikan pentadbir Facebook PDRM FC dan menjengah ke ruang komen, ramai mengucapkan tahniah kepada pemain kacukan Jepun-Brazil itu.
Skuad The Cops turut mendoakan semoga penyerang berketinggian 1.75 meter itu sentiasa mendapat rahmat ALLAH.
Namun tahukah anda, Bruno bukanlah pemain pertama yang menjadi saudara baru dalam Liga Malaysia. Sebelum ini ada beberapa pemain lagi yang memeluk agama Islam.
Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga lagi pemain dan jurulatih yang memeluk agama Islam ketika menabur bakti dalam Liga Malaysia.
1. Pol Corpas (Abu Bakar)
Bekas pembantu jurulatih Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas memeluk Islam pada awal Februari lalu ketika masih bersama-sama skuad The Red Warrior (TRW).
Dengan menggunakan nama Abu Bakar sebagai nama Islamnya, bekas pembantu jurulatih berasal dari Barcelona disyahadahkan oleh pemilik kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman di Hotel Zamburger Kota Warisan, Sepang, Selangor.
Lafaz syahadah kemudian dibuat secara rasmi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Putrajaya dengan disaksikan pegawai dari Hidayah Islamic Centre untuk pendaftaran kesaksian dan rekod rasmi.
Pol Corpas disyahadahkan oleh pemilik kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman di Hotel Zamburger Kota Warisan, Sepang, Selangor. — Facebook/KelantanFC
Untuk rekod, Abu Bakar bersama skuad The Red Warriors sejak dari musim 2021 sehingga kontraknya ditamatkan pada 30 Mei lalu.
Pada bulan Ramadan yang lalu, Pol Corpas juga mengambil kesempatan menjalani ibadah puasa.
2. Gopinathan (Muhammad Gopi Rizqy)
Bekas pemain PDRM FC, R. Gopinathan pula sah memeluk agama Islam Oktober 2019 dan dia yang memilih nama Muhammad Gopi Rizqi dilaporkan mengucap syahadah di Pejabat Majlis Agama Islam Pahang.
Muhammad Gopi melafazkan kalimah syahadah di hadapan seorang ustaz ditemani ibunya. Malah ahli keluarganya yang lain sudah mengetahui hasratnya untuk memeluk Islam dan menerima baik keputusan tersebut.
Muhammad Gopi Rizqi (kiri) dilaporkan mengucap syahadah di Pejabat Majlis Agama Islam Pahang padaOktober 2019. — Facebook
Memetik laporan media, sebelum menjadi seorang mualaf, pemain berusia 33 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk menjadi seorang Muslim kerana tertarik dengan Islam apabila sering melihat rakannya solat dan menjalani kehidupan sebagai Muslim.
Untuk rekod, Muhammad Gopi pernah menerima tawaran untuk beraksi dengan skuad skuad Johor Darul Takzim (JDT) pada tahun 2017.
3. See Kok Luen (Adam)
Selepas mengucap kalimah Syahadah, bekal pemain JDT II memperkenalkan dirinya sebagai Adam See Kok Luen. — Agensi
Bekas pemain JDT II, See Kok Luen merupakan salah seorang pemain yang menjadi saudara baru pada awal tahun 2017.
Pada mulanya, cerita yang pemain berasal daripada Jasin, Melaka itu memeluk Islam disifatkan sebagai khabar angin kerana tiada sumber yang sahih.
Namun, khabar angin kemudiannya disahkan selepas satu sumber berkata, pemain berumur 35 tahun itu sudah pun memeluk agama Islam di kampung halamannya pada ketika itu.
Selepas mengucap kalimah syahadah, dia memperkenalkan dirinya sebagai Adam See Kok Luen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram