Ada individu lebih layak jadi presiden BAM, Hamidin tidak berminat pegang 2 jawatan 


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Nama Hamidin antara yang disebut-sebut sesetengah pihak untuk menggantikan Mohamad Norza untuk menjadi Presiden BAM. — Facebook/FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak berminat untuk menyandang jawatan selaku presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), walaupun namanya antara yang disebut-sebut untuk menggantikanTan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Hamidin berkata, adalah lebih baik jawatan tersebut itu diserah kepada calon yang sesuai kerana beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengemudikan pucuk pimpinan badan induk sukan bola sepak yang disandangnya ketika ini.

"Nama-nama ini semua orang boleh namakan, tetapi saya tak berminat kerana kena faham saya dah pegang jawatan Presiden FAM dan masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan jadi mana boleh pegang dua jawatan.

"Mungkin ada individu lebih layak gantikan beliau (Norza). Saya fikir beliau dah lakukan yang terbaik buat badminton negara, jadi yang patah akan tumbuh (yang hilang akan) berganti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman jurulatih Thailand, Rakphol Sainetngam sebagai ketua jurulatih baharu skuad futsal kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 19.12.50

Hamidin berkata, ada individu lebih layak untuk menerajui BAM. — Facebook/FAM

Hamidin yang juga merupakan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris pada masa yang sama, optimis peralihan pucuk pimpinan kerusi nombor satu BAM itu akan berjalan lancar dan tidak menjejaskan persiapan skuad badminton negara ke temasya itu.

"Beliau (Norza) masih lagi Presiden Majiis Olimpik Malaysia (MOM) dan memantau sukan lain, jadi saya harap peralihan itu akan berjalan lancar dan pengganti itu akan datang pada waktu yang sesuai,” katanya.

Nama Hamidin antara yang disebut-sebut sesetengah pihak untuk menggantikan Mohamad Norza yang baru-baru ini mengumumkan akan melepaskan jawatannya hujung tahun ini.

Ia sekali gus menyaksikan Mohamad Norza bakal mengosongkan kerusi nombor satu BAM itu lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik 2024 Paris seperti diumumkannya pada 15 Julai lepas.

Terdahulu, ketika majlis pada Isnin itu, Rakphol diberikan kontrak dua tahun oleh FAM dan tugas pertamanya ialah mempersiapkan skuad futsal negara menjelang kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan dari 7 hingga 11 Oktober depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama tuan rumah Uzbekistan selain Iraq dan Kemboja pada saingan kelayakan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram