Cetak gol sulung, bekas calon Puskas yakin mampu bantu Jang


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Sean musim ini sudah tampil dalam tujuh perlawanan termasuk enam aksi Liga Super bersama skuad Jang. — Facebook/KUFC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) menang tipis dengan Kelantan United FC (KUFC) dengan jaringan 1-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.

Skuad kendalian K. Devan itu berjaya melakar kemenangan di laman pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-27 oleh pemain sayap, Sean Selvaraj.

Sean mahu menjadikan jaringannya sebagai pencetus moral terbaiknya sambil terus menghasilkan sentuhan pemusnah pada masa akan datang.

Gol tunggalnya itu boleh menjadi titik tolak kebangkitannya dan pasukan yang melalui tempoh sukar, khususnya dalam pusingan pertama Liga Super.

Pemain berusia 27 tahun itu diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama berturut-turut dan langkah itu mula mengembalikan keyakinannya di atas padang.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 15.01.44

Antara aksi pemain NSFC ketika kunjungan ke Kota Bharu. — Facebook/KUFC

"Ini satu jaringan yang sangat bermakna pasukan dan saya sendiri.

"Ini jaringan pertama saya buat tahun ini dan sedikit sebanyak ia menaikkan keyakinan saya dan boleh membantu pasukan dalam perjuangan Liga Super," katanya selepas perlawanan.

Baginya, ada tugas lebih penting untuk digalas skuad Jang yang menghampiri dasar Liga Super sekalipun memiliki reputasi cemerlang musim lalu.

"Di sebalik pemain import yang keluar masuk disebabkan bajet, tetapi dengan khidmat pemain tempatan yang ada sekalipun kami tidak seharusnya berada di tangga kesembilan.

"Semua pemain perlu bekerja keras untuk meletakkan kami di tahap yang sepatutnya," katanya yang pernah tercalon untuk Anugerah Puskas pada musim lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram