
MESKIPUN muncul sebagai antara penjaring terbanyak Liga Super 2022, hubungan antara penyerang import, Herlison Caion dan Selangor FC berakhir pada jendela perpindahan Januari lalu.
Keputusan tersebut dibuat memandangkan pemain berkenaan tidak berada dalam perancangan Tan Cheng Hoe yang lebih berminat untuk menggunakan seorang peledak yang aktif meminta bola daripada rakan sepasukan.
Oleh itu, Caion memilih untuk menyertai seteru setempat skuad Gergasi Merah, Kuala Lumpur (KL) City FC bagi meneruskan kariernya dalam Liga Super.
Bagaimanapun, langkah berkenaan jelas kurang memberi manfaat buatnya memandangkan dia sekali lagi gagal menampilkan aksi terbaik.
Walaupun kerap diberikan minit permainan berbanding penyerang lain, pemain tersebut gagal untuk memberikan impak seperti mana diharapkan penyokong serta pihak kejurulatihan.
Caion (tengah) mencipta nama sebagai antara peledak terbaik Liga Super musim lalu. — Facebook/Selangor FC
Berdasarkan rekod, Caion diberikan 14 penampilan Liga Super sepanjang separuh musim bersama skuad Warga Kota dengan separuh daripadanya merupakan aksi dari bangku simpanan.
Namun, dia hanya menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan yang mana boleh dianggap sebagai satu pulangan yang sedikit mengecewakan sebagai seorang penyerang.
Kecewa dengan pulangan itu, Caion akhirnya memilih untuk mencari angin baharu apabila secara tiba-tiba mengumumkan dia sudah memilih untuk menamatkan hubungannya dengan KL City FC.
Keputusan tersebut dibuat pada 24 Jun bagi membolehkannya menyertai kelab Vietnam, Ha Noi FC yang ketika itu sedang dalam usaha-usaha akhir menamatkan saingan liga di kedudukan tiga pasukan teratas.
Langkah berkenaan boleh dianggap sebagai satu pulangan berbaloi buat kedua-dua pihak apabila Caion tidak perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.
Caion tidak perlu menunggu masa yang lama untuk mencipta nama di Vietnam. — Facebook/Caion Ferreira atacante
Hal itu dapat disaksikan apabila penyerang berusia 32 tahun terbabit mencatatkan hatrik ketika penampilan ketiganya dalam saingan Liga 1 Vietnam.
Pulangan tersebut sekali gus menaikkan semula nama pemain itu dengan penyokong bola sepak tempatan tidak terkecuali memberikan pujian melambung terhadapnya.
Permulaan manis itu diteruskan apabila Caion sekali lagi mencuri perhatian selepas menjaringkan dua gol ketika berdepan Hai Phong FC 2 Ogos lalu.
Sumbangan berkenaan membolehkan Ha Noi FC meraih kemenangan yang menempatkan mereka di tangga teratas, sekali gus membantu mengharumkan lagi nama peledak berkenaan.
Tetapi, apa yang lebih menarik mengenai gol-gol yang dijaringkannya adalah ketika mana dia mencipta gol menerusi tandukan persis bekas penyerang antarabangsa Belanda, Robin van Persie.
Jaringan itu berlaku ketika berdepan Hai Phong FC dengan Caion bijak membaca hantaran daripada rakan sepasukan sebelum menanduk masuk bola yang mengelirukan penjaga gol lawan.
Rakaman yang dikongsikan di laman Instagram peribadi pemain itu jelas mencuri perhatian apabila ia seakan-akan gol van Persie yang dicalonkan untuk Anugerah Puskas FIFA 2014.
Persembahan berkenaan jelas menjadi bahan bualan hangat apabila penyokong serta bekas rakan sepasukan tidak henti-henti memuji gol cantik tersebut.
Antara yang tidak terkecuali memberi pujian ialah penyerang KL City FC, Tchetche Kipre dan pemain muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal.
Melihat kepada reputasi yang sedang dicipta Caion di Vietnam, terdapat kemungkinan besar bahawa dia akan terus kekal di liga tersebut untuk satu tempoh yang panjang.
Bagi skuad Gergasi Merah dan Warga Kota pula, mereka pastinya tidak terlalu terkesan dengan sinaran yang dipamerkan pemain itu memandangkan kehilangannya tidak terlalu dirasai setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram