JDT kena denda RM120,000, hukuman Faisal Halim kekal — FAM


  • Podium
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Faisal (kanan) boleh menjalani latihan bersama pasukannya, bagi JDT pula perlu membayar denda akibat membakar suar.

PENYERANG sayap kebangsaan, Faisal Halim diberi kelonggaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila mengizinkan tonggak Selangor itu untuk menjalani latihan bersama pasukannya.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan pada Sabtu selepas Jawatankuasa Rayuan badan induk itu melakukan mesyuarat baru-baru ini yang dipengerusikan oleh CP (Bersara) Datuk Seri Mohammad Mokhtar.

Keputusan tersebut dibuat untuk membantu pemain berusia 25 tahun itu dapat mengekalkan tahap kecergasan walaupun masih berdepan hukuman penggantungan.

“Kes keempat iaitu membabitkan pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan.

“Bagaimanapun, jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Mohamad Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak,” kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, bekas pemain Terengganu itu dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan susulan komennya selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada April lalu.

Dalam pada itu, pada mesyuarat yang turut membincangkan tiga kes daripada Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu juga mengesahkan bahawa rayuan juara bertahan Liga Super itu ditolak oleh FAM.

ISI DALAM

Jawatankuasa Rayuan FAM bermesyuarat buat kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat. Facebook/FAM

Jawatankuasa memutuskan hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah dikekalkan.

“Bagi tiga kes pertama iaitu membabitkan penyokong JDT membakar suar, rayuan yang dikemukakan oleh Kelab Bola Sepak JDT telah ditolak, sekali gus hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah dikekalkan,” tambahnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung (FAM), Noor Azman Rahman memaklumkan surat hukuman denda bagi kesalahan-kesalahan tersebut telah dihantar ke JDT pada 31 Mei untuk memaklumkan keputusan yang sudah diputuskan itu.

"Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lawan Sabah FC pada 31 Mac, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

"Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super, JDT lawan Kedah Darul Aman FC pada 9 April, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

"Sementara bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lawan PDRM FC pada 14 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong," katanya dalam satu kenyataan pada 6 Julai lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram