Mohon maaf tak cukup? Sepakan ngeri ke atas Seon-ung turut pernah menimpa 2 bintang Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan insiden Rodney menyepak Seon-ung.

BOLA sepak merupakan salah satu sukan yang terdedah dengan risiko kecederaan akan menimpa kepada pemain berikutan intensiti dalam tempo yang tinggi di antara kedua-dua pasukan.

Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) juga menyaksikan beberapa pemain terpaksa menanggung kesakitan selepas mengalami kecederaan yang teruk dan secara tidak langsung perkara tersebut juga boleh menghancurkan karier mereka.

Musim ini saingan domestik turut menyaksikan beberapa senario kecederaan menimpa pemain Liga M sehingga perkara tersebut menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong.

Dalam masa sama, pemain yang mencederakan tonggak lawan juga akan menerima kecaman hebat dari penyokong sehingga mereka akan memuat naik permohonan maaf secara terbuka.

Namun ada juga yang berpendapat bahawa permohonan maaf secara terbuka masih tidak mencukupi untuk memadam episod hitam itu dan berpendapat mereka patut menerima tindakan tatatertib.

Seperti pada Jumaat, tonggak pertahanan Kedah Darul Aman (KDA FC), Rodney Celvin memuat naik permohonan maaf secara terbuka kepada import Perak, Seo Seon-ung selepas menyepak kepala pemain itu.

Termasuk Rodney, berikut dua lagi pemain yang pernah mengalami kecederaan ngeri selepas diterjah tonggak pasukan lawan;

1) Rodney Calvin

RODNEY DALAN

Rodney (tengah) dijangka akan terlepas beberapa aksi penting selepas tindakan kasarnya ke atas Seon-ung. — Facebook/KDA FC

Pemain campuran Ghana-Sarawak itu mengakui melakukan kesilapan apabila bertindak menyepak kepala penyerang sayap kanan import Perak ketika aksi Piala Malaysia 2023 pada Khamis sehingga dia dilayangkan kad merah dan digantung beberapa perlawanan.

Susulan insiden tersebut, antara pemain utama The Bos Gaurus (TBG) itu disahkan mengalami kecederaan patah hidung dan terpaksa berehat dalam satu tempoh yang agak panjang.

Perasaan rasa bersalah menyelubungi diri pemain berusia 26 tahun itu sehingga Rodney mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan menjelaskan beliau tiada niat untuk mencederakan pemain itu.

"Saya ingin memohon maaf kepada pemain Perak FC, penyokong-penyokong di atas insiden yang berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia semalam (Khamis).

"Sejujurnya, saya tiada niat untuk mencederakan mana-mana pemain, insiden tersebut berlaku secara spontan setelah dikasari. Semoga pemain berkenaan cepat sembuh," katanya dalam hantaran di laman Instagram.

2) Zahrul Nizwan

SYUKRI

Terjahan keras dibuat Zahrul terhadap Syukri sehingga menyebabkan pemain skuad TBG tersebut diusung keluar.

Pemain Kuching City FC, Zahrul Niswan melakukan terjahan keras ke atas Syukri Baharun ketika Perak FC turun menentang The Cats yang mana skuad kendalian Yusri Che Lah berjaya meraih tiga mata penuh hasil kemenangan 2-1 pada 18 Julai.

Kekasaran terbabit jelas mengundang kecederaan kepada Syukri sehingga memaksa pihak perubatan mengusungnya pada minit-minit akhir permainan.

Lebih menimbulkan kemarahan barisan pemain termasuklah pengendali Perak FC, Yusri adalah tindakan pengadil perlawanan, Mohd Faisal Ridzuan yang tidak melayangkan sebarang kad kepada pemain The Cats itu.

Selepas itu, Zahrul memohon maaf kepada Syukri ekoran terjahan keras yang dilakukannya ke atas pemain itu pada laman media sosial Instagram miliknya.

“Assalamualaikum saya ingin memohon maaf atas insiden yang tak disengajakan yang berlaku antara saya dengan pemain Perak, Syukri Baharun dan saya juga ingin memohon maaf kepada semua penyokong Perak dan penyokong bola sepak tanah air kita.

“Saya dah berhubung dengan pemain tersebut dan memohon maaf kepada beliau. Saya akan jadikan insiden tersebut sebagai pengajaran buat saya,” tulisnya.

3) Safawi Rasid

WhatsApp Image 2023-08-04 at 17.06.57

Tangkap layar Chunuonsee meminta maaf kepada pengadil.

Walaupun bukan dalam saingan Liga M namun siapa sangka penyerang sayap kebangsaan, Safawi Rasid pernah mengalami kecederaan ketika menyarung jersi Liga Divisyen Pertama Thailand, Ratchaburi FC pada awal musim ini.

Sebelum itu, pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) itu pada perlawanan berdepan Lamphun Warrior, Safawi dikasari oleh tonggak lawan, Mika Chunuonsee pada minit ke-54 ketika pemain itu sedang cuba membuat gerakan ke kubu pertahanan lawan.

Terjahan keras itu menyebabkan Safawi mengalami kesakitan dan seterusnya terpaksa dikeluarkan bagi membenarkan pemain itu mendapat rawatan.

Susulan terjahan tersebut, Chunuonsee dilayangkan kad merah dan pemain berusia 26 tahun itu memohon permohonan maaf kepada Safawi serta pengadil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram