PERAK Bison bermandi peluh sebelum regu Yob disahkan sebagai juara Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 selepas menundukkan lawannya, KPT-Masum Knights 2-1 pada Sabtu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Mana tidaknya, pasukan Perak berhasil bangkit daripada ketinggalan yang mana KPT-Masum Knights memberi saingan sengit dengan menang ketika set pertama dengan skor 21-19.
Selepas melakukan perubahan dengan memasukkan Meor Zulfikar Mat Amin sebagai tekong menggantikan import Thailand, Jakkrit Thinbangbon, Perak terus agresif meraih kemenangan pada set kedua dan ketiga dalam perlawanan minggu kelapan musim ini.
Set kedua, Perak menang 21-16 dan pada set penentuan, keadaan stadium semakin tegang berikutan kedua-dua pasukan ingin menang pada perlawanan terakhir STl itu namun regu Yob menoktahkan kemenangan 21-14 dan sekali gus menumpaskan KPT-Masum.
Tampil berkongsi mengenai detik mendebarkan pada aksi ke-88 liga itu, pengurus regu Perak Bison, Syamsul Istar Ibrahim Istar berkata, kurang keyakinan menjadi punca pasukannya kalah di set pertama.
“Kalau nak diikutkan semalam (Sabtu) itu memang aksi penentu kejuaraan. Set pertama kita macam banyak loose dari segi pertahanan dan keyakinan tapi apabila masuk set kedua, barisan pengurusan dan kejurulatihan beritahu pemain untuk fokus dan cuba dapatkan keyakinan dan jangan fikirkan sangat kejuaraan.
“Sebab itu ada kami masukkan Meor dan ada perubahan apabila trio wakili negara dimasukkan. Keserasian mereka nampakkan hasil. Kami nak dapatkan ramuan terbaik tapi bila set pertama tak jadi. kita tukar pemain,” katanya kepada Majoriti.
Antara aksi Perak menentang KPT-Masum pada Sabtu. — Facebook/STL
Gandingan Meor Zulfikar, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi masing-masing bermain sebagai apit kanan dan kiri sememangnya memberi mimpi ngeri buat lawan pada musim ini.
Namun begitu, walaupun Perak sudah bergelar juara divisyen perdana namun perjuangan mereka belum selesai apabila petang ini, regu dari Utara Tanah Air itu akan berentap menentang Kuala Lumpur (KL) Thunders dalam STL Challenge Cup yang bakal diadakan di venue sama.
Meskipun menyedari ia adalah perlawanan penting, Syamsul Istar bagaimanapun enggan meletakkan tekanan kepada para pemainnya dan hanya ingin memberi aksi terbaik untuk perlawanan separuh akhir itu.
“Challenge Cup kami anggap bonus sebab sasaran kami di awal musim top 4 tapi sekarang dah lebih sasaran. Jadi saya beritahu mereka, petang (Ahad) ini main tanpa tekanan. Kami cuba untuk mencalarkan rekod KL Thunders yang mana tiga pemain utama mereka tidak pernah kalah lagi.
“Kalau menang bonus. Kami pun akur dengan undian lawan KL sebab dah sedia nak jumpa mana-mana lawan pun. Memang tiada sasaran cuma nak dapatkan permainan terbaik. Mengenai pemain, kami tak pasti lagi siapa yang diturunkan,” tambahnya.
Satu lagi aksi berlangsung pada Ahad, Penang Black Panthers dijadual menentang PDRM Defenders sebelum juara daripada kedua-dua semi final itu akan berentap di pentas akhir STL Challenge Cup yang bakal diadakan di Stadium Titiwangsa pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram