[VIDEO] Datang sokong Johor Tigris, penyokong ada kerjaya baharu untuk Syafiq Ahmad


  • Podium
  • Isnin, 31 Jul 2023

Syafiq hadir bersama keluarganya untuk menyokong pasukan kegemarannya, Johor Tigris. — Facebook/STL

SELEPAS seminggu berehat, Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 kembali lagi namun dengan kejuaraan berbeza apabila 10 pasukan terbaik negara akan berentap dalam saingan Champions Cup.

Lapan pasukan iaitu dua daripada Divisyen 1 serta enam pasukan teratas Liga Perdana bakal bertarung untuk merampas gelaran juara daripada Kuala Lumpur (KL) Thunder.

Perlawanan pertama Champions Cup kali ini menyaksikan Johor Tigris menang mudah ke atas ATM Guardians dalam pertembungan yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studio, Johor pada Ahad.

Bermain di laman sendiri dengan disaksikan ribuan penyokong, regu Tigris tidak mempunyai masalah menewaskan pasukan pelawat 2-0 pada aksi pertama Champions Cup itu.

STL

Regu Tigris menang 2-0 ke atas ATM. — Facebook/STL

Menarik dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan Selatan tanah air itu menang dengan keputusan 21-15 dan 21-12, aksi tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad.

Syafiq yang dilihat hadir bersama keluarganya itu meluangkan masa dengan menyokong pasukan kegemarannya, Johor Tigris, malah mengakui sudah lama meminat sukan tersebut.

“Saya memang peminat setia daripada awal. Sebelum ini saya tengok, memang saya minat dengan STL. Antara pasukan kegemaran saya, yang pertama sekali pasukan Johor Tigris.

“Selain itu, saya suka tengok corak permainan dan meminati pasukan Penang Black Panthers dan juga KL (Kuala Lumpur) Thunders,” katanya dalam satu petikan video yang dimuat naik dalam laman rasmi Facebook STL.

Syafiq ketika ditemu bual pengacara STL — Facebook/STL

Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu di gelanggang STL memberikan keterujaan kepada peminatnya sehingga ramai yang mengusik Syafiq untuk menukar kerjaya kepada pemain sepak takraw.

Usikan tersebut hadir selepas musim ini penyerang Harimau Malaya itu kurang diberi peluang untuk beraksi bersama JDT dan hanya tampil dalam empat perlawanan Liga Super.

“Jadi pemain takraw nanti dia ini. main bola dah jarang,” kata penyokong STL, Zahirul Fariq Zamani.

“Tahun depan join STL itu,” tambah seorang penyokong, Muhd Danial Marzuki.

“Dia ini kalau balik kampung memang main takraw sahaja,” kata penyokong, Zul Kapan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram