[VIDEO] Kehadiran 3 bintang JDT di STL bongkar rahsia jaringan Puskas Safawi Rasid


  • Podium
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Safawi dicalonkan bagi Anugerah Puskas FIFA bersama beberapa lagi jaringan dari pemain dari negara lain. — Facebook/FAM

SAINGAN Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 bagi merebut kejuaraan Championship Cup terus dimeriahkan dengan kehadiran daripada penyokong sukan tersebut termasuklah sokongan beberapa bintang bola sepak tanah air.

Jika sebelum ini kejohanan tersebut dimeriahkan dengan kehadiran penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad, kali ini dua pemain Harimau Selatan turut tidak melepaskan peluang untuk memberi sokongan.

Ketika perlawanan antara Johor Tigris menang 2-1 ke atas Terengganu Turtles di Studio Iskandar Malaysia Johor pada Selasa, tiga bintang Harimau Selatan iaitu Syafiq, Safawi Rasid dan Farizal Marlias dilihat hadir meluangkan masa lapang mereka.

Mereka yang turun untuk memberi sokongan kepada regu Tigris mengakui meminati sukan tersebut dan lebih menarik, Safawi juga berkongsi pernah terlibat sebagai atlet takraw sewaktu remaja.

Pemain JDT ketika ditemu bual pengacara STL — Facebook/STL

"Dulu saya main takraw semasa umur 15 tahun. Saya main sebagai killer (perejam). Main dengan Sobey (Zulkifli Abdul Razak) saya selalu latihan dengan dia. Ini kali kedua saya datang turun STL," kata pemain dari Terenganu itu dalam satu petikan video yang dimuat naik dalam laman rasmi Facebook STL.

Pengakuan bekas penyerang sayap pinjaman Ratchaburi itu membawa keterujaan kepada penyokong sehingga ada yang mula mengaitkan skilnya dalam sukan takraw digunakan dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional.

Malah, ada penyokong berpendapat bahawa jaringan Safawi ketika aksi persahabatan Harimau Malaya menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 pada Julai lalu yang dicalonkan dalam Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah skil dari pengalaman sepak takrawnya.

"Patutlah gol cantik Safawi masa lawan Kepulauan Solomon hari itu, dia timang bola macam timang bola takraw," kata penyokong STL, Malhamah Al-Qubra.

"Kebiasaanya orang main bola ini boleh juga main takraw...mungkin skil kaki tu lebih kurang sama bola dan takraw..bezanya sejauh mana seseorang tu cenderung minatnya ke arah bola sepak atau bola takraw," tambah penyokong STL, As Wad.

Jaringan dari Safawi itu disudahkan dengan percubaan volley kaki kiri dan dianggap berkelayakan untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas FIFA bersama beberapa lagi jaringan dari pemain dari negara lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram