SENYUMAN penyokong Kelantan FC menyambut kehadiran penyerang import baharu tidak bertahan lama apabila Youssef Ezzejjari diumumkan sebagai pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) pada jendela perpindahan musim kedua ini.
Difahamkan The Red Warriors (TRW) terlebih dahulu mengumumkan ketibaan pemain berusia 30 tahun itu pada Selasa namun beberapa jam sebelum jendela perpindahan ditutup, The Jang secara tiba-tiba mengesahkan Ezzejjari akan membantu memperkuatkan pasukan itu pada baki saingan liga.
Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, pembatalan kontrak pemain kelahiran Sepanyol itu bersama Kelantan adalah berada di luar pengetahuan ejen yang memperkenalkannya kepada skuad TRW itu.
Lebih mengejutkan lagi apabila Ezzejjari menyertai skuad kendalian K.Devan dengan ejen berbeza yang mana difahamkan bekas penjaring terbanyak Liga Indonesia itu bernaung di bawah InsaProject Global Group.
Tidak pasti sama ada berlaku salah faham antara Ezzejjari dengan ejen lamanya sehingga keputusan mengejutkan tersebut berlaku ataupun terdapat syarat yang kurang dipersetujui oleh pemain itu ketika berurusan dengan pihak Kelantan.
Isu satu pemain membatalkan kontrak bukanlah kali pertama berlaku dalam landskap bola sepak tanah air berikutan skuad Jang turut pernah mengalami perkara sama pada awal musim ini.
Al-Mardi yang merekodkan sembilan jaringan daripada 19 perlawanan bersama KDA FC pada musim 2022.
Pada jendela perpindahan awal musim ini, bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi membuat keputusan untuk membatalkan kontrak bersama Negeri Sembilan.
Keputusan yang mengecewakan penyokong skuad Jang tersebut dikatakan dibuat apabila jeneral tengah Sang Kenari pada musim 2022 itu memilih untuk berhijrah ke kelab Kuwait, Qadsia SC.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh ejen Al-Mardi pada laman media sosial dan menyatakan bahawa pemainnya itu memilih ke Qadsia untuk mencari cabaran baharu.
Kini, pemain berusia 29 tahun itu tidak lagi bersama Qadsia apabila arkitek tengah Jordan itu memilih untuk kembali ke negara kelahirannya dengan menyertai Al-Hussein SC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram