'Dah rehat lama', 4 bintang JDT dijangka turun padang Piala Malaysia 2023


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

JDT berjaya mencatatkan kemenangan dalam kesemua 22 perlawanan yang diharungi pada musim ini. — Facebook/JOHORSouthernTigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) akan memulakan kempen Piala Malaysia 2023 pada musim ini dengan menentang pasukan tercorot Liga Super, Kelantan FC pada Jumaat ini.

Aksi timbal balik pertama pusingan ke-16 kejohanan tersebut bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan terlebih dahulu berkunjung ke gelanggang The Red Warriors di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan.

Aksi kedua pula bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 19 Ogos depan.

Melihatkan kepada prestasi semasa pasukan, JDT penyandang juara Piala Malaysia dijangka tidak mempunyai masalah bagi menewaskan Kelantan FC dan seterusnya melangkah ke pusingan suku akhir.

Bagaimanapun, dengan jadual Liga Malaysia (M) yang agak padat, ketua jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari diramal bakal membuat perubahan terhadap kesebelasan utama pasukan pada perlawanan tersebut.

Ini bagi memberikan ruang bagi merehatkan beberapa pemain utama yang menjadi tulang belakang kepada prestasi mengagumkan JDT pada musim ini yang berjaya mencatatkan 22 kemenangan maksimum daripada 22 perlawanan.

Ia terdiri daripada 18 perlawanan Liga Super 2023 dan termasuk empat perlawanan Piala FA yang menyaksikan JDT merangkul kejuaraan kejohanan terbabit pada aksi final 22 Julai lalu.

Kemungkinan tersebut juga dijangkakan dengan melihat kepada kehadiran beberapa pemain yang disifatkan agak sudah lama berehat daripada membarisi skuad perlawanan dan kesebelasan utama pasukan ketika sesi latihan menjelang perlawanan pada Jumaat ini.

Berikkut Majoriti senaraikan empat pemain jarang diturunkan yang dijangka diturunkan ketika aksi Piala Malaysia menentang Kelantan FC:

1. Syafiq Ahmad

2173762

Syafiq hanya mencatat satu gol bersama JDT pada musim ini. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Pada musim ini, barisan serangan JDT dilihat tidak mempunyai masalah untuk menampilkan prestasi terbaik dengan rekod cukup luar biasa melalui 69 jaringan dihasilkan daripada 18 perlawanan Liga Super.

Dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan itu tentunya ialah Bergson Da Silva yang beraksi sebagai penyerang utama dan Fernando Foriestieri di posisi penyerang kedua.

Setakat ini, Bergson dan Foriestieri masing-masing mengumpul jumlah aksi kesebelasan utama yang agak banyak iaitu 12 dan 16 kali.

Disebabkan itu, salah seorang daripada gandingan itu berkemungkinan bakal tidak diturunkan dalam aksi Piala Malaysia bagi memberikan ruang kepada mereka untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Situasi itu sekiranya berlaku bakal memberikann ruang kepada penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang masih bergelut untuk mendapat minit permainan pasa musim ini apabila hanya tampil dalam empat perlawanan Liga Super dan dua aksi Piala FA.

Kemunculan penyerang berusia 28 tahun itu juga dilihat amat penting kerana dia dilihat memerlukan waktu untuk mendapatkan minit permainan untuk membolehkannya memberikan prestasi terbaik ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

2. Safawi Rasid

363376257_854199986075979_3854155530641474157_n

Safawi ketika sesi latihan bersama pasukan. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Selepas kembali menyertai JDT pada Mei lalu, Safawi Rasid yang bermain di posisi sayap kanan masih belum membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama skuad JDT.

Ini kerana pemain kelahiran Terengganu itu ketika ini dilihat sebagai pilihan kedua di belakang bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi yang kini sedang dalam prestasi terbaiknya pada musim dengan rekod 10 dan 12 bantuan gol.

Arif yang baru berusia 21 tahun juga dilihat menjadi tonggak utama JDT apabila diturunkan dalam 21 perlawanan daripada keseluruhan 22 aksi diharungi Harimau Selatan termasuk empat perlawanan Piala FA 2023.

Disebabkan itu, pemain kelahiran Pahang dijangka perlu direhatkan dan ia pastinya memberi ruang kepada Safawi untuk mengisi kekosongan tersebut.

Keupayaan Safawi, 26, untuk mempamerkan aksi terbaik setiap kali diberikan peluang juga tidak boleh dinafikan.

Ini terbukti apabila dia berjaya menjaringkan dua gol ketika menyarung jersi Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea pada Jun lalu.

3. Akhyar Rashid

BD3CBA5E-44EA-4236-996A-A0D71CA3E216

Akhyar merupakan antara nama yang kerap dipanggil untuk beraksi bersama skuad Kebangsaan. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Pada musim ini, Akhyar Rashid lebih banyak beraksi sebagai pemain gantian apabila membuat sebanyak sembilan penampilan daripada bangku simpanan dan hanya diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam satu perlawanan.

Bagaimanapun, pemain sayap kiri itu itu yang kini sudah mengumpul empat jaringan dengan dua daripadanya ketika saingan Piala FA 2023 dilihat memerlukan lebih aksi sebagai tonggak kesebelasan utama untuk memberikan pengaruh yang lebih kepada pasukan.

Dalam pada itu, Akhyar, 24, juga merupakan satu-satunya pemain sayap kiri tempatan yang berada dalam skuad JDT.

Ini terbukti apabila dia diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dalam aksi terakhir liga ketika menentang Selangor FC pada 29 Julai lalu.

4. Natxo Insa

364760164_853755622787082_128518798120901260_n

Natxo ketika menyertai sesi latihan JDT menjelang aksi menentang Kelantan FC pada Jumaat ini. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Sejak dilanda beberapa siri kecederaan pada dua musim lalu, Natxo Insa dilihat terus bergelut untuk merebut tempat dalam kesebalasan utama JDT.

Tambahan pula, yang sudah mencecah usia 37 tahun itu kini perlu bersaing dengan dua pemain muda yang mencabar posisinya sebagai pemain tengah bertahan iaitu Afiq Fazail dan Wong Han.

Bagaimanapun, perlu khidmat pemain berdarah campuran Malaysia-Sepanyol Sepanyol ini masih ditagih khususnya bagi memperkuatkan barisan tengah skuad Kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.

Ini suntikan pengalaman yang dimiliki Natxo di pentas Eropah antaranya ketika kelab terkemuka La Liga seperti Valencia, Villarreal, Real Zaragoza dan Levante tentunya merupakan sesuatu yang amat ditagih.

Bagaimanapun, untuk menempatkan diri dalam pasukan kebangsaan, pemain tengah itu perlu mendapatkan kecergasan dan minit permainan yang mencukupi bagi membolehkannya memberikan prestasi terbaik jika dipanggil mewakili Harimau Malaya.

Disebabkan itu, perlawanan menentang Kelantan pada Jumaat ini dilihat antara waktu yang terbaik untuk membolehkan Natxo kembali membina momentum persembahannya tanpa diberikan tekanan yang berlebihan.

Pada musim ini, dia hanya beraksi sebanyak enam perlawanan dan cuma sekali muncul dalam kesebelasan utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram