
KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menarik semula sekatan perpindahan ke atas Kelantan FC dianggap sebagai rahmat buat pihak pengurusan kelab.
Ia dapat dibuktikan apabila mereka tampak cukup sibuk beberapa hari kebelakangan ini dengan wajah-wajah baharu diumumkan di laman media sosial kelab.
Bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dennis Buschening serta pemain kelahiran Mesir, Ahmed Magdy merupakan antara lima rekrut yang diperkenalkan.
Usaha mereka dilihat tidak terhenti di situ apabila khabar angin mengatakan terdapat rundingan sedang berlangsung untuk mendapatkan bekas tonggak Selangor FC, Andik Vermansyah.
Kehadiran mereka itu dianggap sebagai satu titik permulaan dalam usaha mereka menamatkan saingan Liga Super 2023 di kedudukan lebih baik.
Selain itu, ada juga yang berpandangan perbelanjaan besar itu adalah untuk menguji kualiti skuad The Red Warriors (TRW) dalam saingan Piala Malaysia.
Zulakbal berpandangan terdapatnya jurang besar antara Kelantan FC dan JDT.
Meskipun tidak mempunyai peluang cerah untuk menjuarai pertandingan terbabit, penyokong pastinya berhasrat kejutan masih dapat dicetuskan setiap kali berdepan lawan yang lebih sukar.
Namun, harapan berkenaan seperti sudah semakin malap memandangkan mereka bakal bertemu juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dalam pusingan pertama.
Pertembungan berkenaan pastinya cukup sukar untuk ditempuhi Kelantan FC apabila aksi Liga Super antara kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan skuad Harimau Selatan menang dengan keputusan 5-0 di tempat lawan.
Pandangan itu turut dipersetujui pemerhati bola sepak negara, Dr Zulakbal Abd Karim yang melihat kehadiran pemain baharu tidak akan menjanjikan perubahan drastik.
"Kalau kita lihat pertemuan antara JDT dan Kelantan dalam liga atau mana-mana pertandingan, kita semua tahu mereka ibarat langit dan bumi dari segi prestasi dan pemain.
Norizam (kiri) mempunyai hubungan cukup baik bersama TMJ. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Jadi, untuk kita harapkan Kelantan dapat cipta kejutan ke atas JDT, pasti susah kerana kalau kita ikut secara logik, memang JDT akan menang perlawanan itu," katanya kepada Majoriti.
Ketika ini, pasukan Selatan tanah air tersebut sememangnya berada di tahap berbeza apabila mudah memenangi kesemua 18 aksi Liga Super.
Tidak cukup dengan itu, mereka sudahpun membawa pulang satu trofi apabila menjuarai Piala FA pada pertengahan Julai lalu selepas menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Jadi, dengan satu jurang cukup besar sudah dicipta dengan pencabar terdekat, terdapat kemungkinan besar JDT akan muncul juara Liga Super untuk musim ke-10 berturut-turut.
Bagaimanapun, menurut Zulakbal, masih terdapat kemungkinan halus skuad TRW masih dapat mencipta kejutan memandangkan pemilik kelab, Norizam Tukiman mempunyai hubungan baik dengan pihak pengurusan JDT.
"Tetapi, Kelantan FC, seperti mana kita tahu, mempunyai pemilik yang berasal dari Johor dan sering meminta nasihat daripada TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris), jadi mungkin dia boleh beri tentangan," ulasnya.
Selepas 18 perlawanan, kelab Pantai Timur itu masih mencari rentak dalam Liga Super apabila hanya memperolehi lima mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram